Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Turkiye secara efektif menghalang Presiden Israel, Isaac Herzog daripada menghadiri Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Baku awal minggu ini dengan menolak kebenaran pesawatnya memasuki ruang udara Turkiye, menurut beberapa laporan daripada pegawai Azerbaijan dan Turkiye.

Pada hari Sabtu, Pejabat Presiden Israel mengumumkan pembatalan lawatan yang dirancang ke COP29 atas alasan pertimbangan keselamatan tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Namun, agensi berita Israel, Ynet memetik kenyataan daripada pegawai di Azerbaijan pada hari Ahad mengatakan bahawa perjalanan tersebut dibatalkan kerana Turkiye menolak untuk membenarkan pesawat Isaac Herzog memasuki ruang udaranya.

Seorang pegawai Azerbaijan yang tidak dinamakan menyatakan bahawa Israel dan Turkiye terlibat dalam rundingan intensif melalui saluran diplomatik yang berlangsung selama beberapa hari tetapi tidak membuahkan hasil.

Delegasi Israel lain yang turut hadir ke persidangan itu tiba di Baku pada 11 November menaiki penerbangan komersial melalui Georgia.

Menurut The Times of Israel, delegasi mereka mendapat kawalan keselamatan yang ketat, memandangkan kedudukan negara itu yang berdekatan dengan Iran, walaupun Azerbaijan dilihat sebagai sekutu Israel.

Sumber: Middle East Eye, The Times of Israel

Written by
Admin
Published on
November 18, 2024