Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, menyifatkan tindak balas negara Eropah dan Barat terhadap genosid Israel di semenanjung Gaza sebagai salah satu episod paling gelap dalam hubungan antarabangsa pada abad ke-21.

Dalam wawancara bersama The Guardian sebelum pertemuan dengan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, di London pada Rabu, Sánchez memberi amaran bahawa sikap dwistandard negara Eropah dan Barat terhadap perang di Ukraine dan Gaza bakal menjejaskan kedudukan mereka di pentas global.

Pedro Sánchez merupakan pemimpin Eropah pertama yang secara terbuka menuduh Israel melakukan genosid di Gaza. Beliau juga memaklumkan beliau gembira apabila beberapa negara Eropah lain mengikuti langkah Sepanyol mengiktiraf negara Palestin. Namun, beliau mengakui tindak balas negara-negara itu setakat ini sangat lemah.

Beliau berkata:

“Puncanya mungkin berbeza, tetapi akhirnya dunia memandang kepada Kesatuan Eropah (EU) dan masyarakat Barat lalu bertanya: Mengapa wujud sikap dwistandard antara isu Ukraine dan Gaza?”

Sánchez menegaskan beliau sedang mendesak negara Eropah untuk membuat tindakan lebih banyak, termasuk mengenakan hukuman kewangan terhadap Israel.

“Apa yang sedang kita saksikan di Gaza mungkin salah satu episod paling gelap dalam hubungan antarabangsa pada abad ke-21. Dalam hal ini, saya boleh katakan bahawa Sepanyol sangat lantang di dalam EU dan juga di peringkat antarabangsa. Dalam EU, apa yang telah kami lakukan setakat ini adalah mendesak supaya menangguhkan perjanjian strategik antara EU dan Israel.”

Sepanyol sejak awal konsisten mengkritik perang Israel di Gaza. Pada Oktober 2023, Sepanyol berikrar menghentikan penjualan senjata kepada Israel dan pada Februari 2024, kerajaan itu turut mengumumkan larangan pembelian senjata dari negara berkenaan.

Pada April lalu, Sepanyol membatalkan perjanjian dengan sebuah syarikat Israel selepas menerima desakan daripada beberapa menteri kabinet. Tahun sebelumnya, negara itu bersama Ireland dan Norway turut mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
September 4, 2025