.png)
Presiden Ahmad al-Sharaa menegaskan bahawa lawatannya ke Rumah Putih dan pertemuannya bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandakan permulaan baharu bagi hubungan strategik antara Syria dan AS. Beliau menekankan bahawa Syria kini tidak lagi dilihat sebagai ancaman kepada AS, sebaliknya sebagai rakan geopolitik.
Dalam temu bual bersama saluran AS, Fox News hari ini, Presiden al-Sharaa berkata: “Sepanjang 60 tahun yang lalu, Syria terasing daripada dunia luar dan hubungannya dengan AS terputus. Ini adalah kali pertama seorang Presiden Syria melawat Rumah Putih sejak penubuhan negara ini pada tahun 1940-an.”
Beliau menambah: “Selepas kejatuhan rejim terdahulu, Syria memasuki fasa baharu, terutamanya dalam hubungannya dengan AS. Semasa pertemuan dengan Trump, kami membincangkan keadaan semasa dan masa depan, termasuk peluang pelaburan di Syria, supaya negara ini tidak lagi dilihat sebagai ancaman keselamatan, tetapi sebagai rakan geopolitik dan destinasi pelaburan yang menarik bagi AS, khususnya dalam sektor pengeluaran gas.”
Beliau turut menyatakan: “Kami membincangkan isu penghapusan sekatan, berikutan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap saya serta beberapa individu lain.”
Mengenai penyertaan Syria dalam pakatan antarabangsa menentang kumpulan militan negara Islam (ISIS) pula, beliau berkata: “Kami telah terlibat dalam pelbagai pertempuran menentang ISIS selama sepuluh tahun, menanggung banyak penderitaan dan kehilangan sebahagian besar pejuang kami. Kehadiran tentera AS di Syria mempunyai tujuan tertentu, namun ia mesti dijalankan dengan koordinasi bersama kerajaan Syria. Oleh itu, perkara ini perlu kita bincangkan dan mencapai persetujuan mengenai ISIS.”
Berhubung kemungkinan Syria menyertai Perjanjian Abraham dengan Israel pula, beliau menjelaskan bahawa situasi Syria kini berbeza daripada negara-negara lain yang menyertai perjanjian itu kerana Syria mempunyai sempadan dengan Israel yang menduduki Bukit Golan sejak 1967. Beliau menambah: “Namun, mungkin pentadbiran Trump boleh membantu kami mencapai perjanjian keselamatan dengan Israel atau memulihkan kembali perjanjian umum 1974.”
Sesi perbincangan rasmi di Rumah Putih turut melibatkan penyertaan menteri luar kedua-dua negara dan beberapa pegawai kanan, bagi membincangkan cara memperkukuh hubungan dwipihak Syria–Amerika dan mengembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Dalam masa yang sama, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio telah menyerahkan sepucuk surat rasmi kepada Menteri Luar Syria, Asaad Hassan al-Shaibani, semasa pertemuan dua hala yang memberi kebenaran untuk membuka semula Kedutaan Syria di Washington pada bila-bila masa yang diputuskan oleh pihak Syria. Langkah itu diambil susulan pemansuhan sekatan undang-undang dan diplomatik yang dikenakan semasa rejim terdahulu, kata Wakil Syria ke PBB, Ibrahim Olabi dalam temu bual bersama stesen televisyen Syria, Al-Ikhbariya pada Isnin.
Olabi menjelaskan bahawa pertemuan antara Al-Sharaa dan Donald Trump di Rumah Putih berlangsung secara praktikal dan mesra, melebihi tempoh yang dijadualkan berikutan perbincangan pelbagai isu penting. Pertemuan itu kemudiannya diperluas kepada sesi lebih besar dengan penyertaan Menteri Luar Syria serta beberapa menteri lain.
Beliau menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa lawatan Al-Sharaa ke Rumah Putih merupakan babak baharu dalam hubungan Syria-Amerika dan menandakan permulaan fasa baru kerjasama. Beliau menekankan bahawa rakyat Syria berhak sepenuhnya meraikan pencapaian ini, yang dicapai hasil ketabahan mereka dan sokongan terhadap kepimpinan negara.
Sumber: SANA