Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, pada hari Rabu menggelar Israel sebagai sebuah 'negara genosid' dan menegaskan bahawa Sepanyol tidak menjalinkan urusan perdagangan dengan 'negara' seperti itu. Kenyataan ini merupakan pendirian paling tegas beliau setakat ini berhubung konflik di Gaza.
Kenyataan Sanchez dibuat semasa sesi soal jawab di parlimen Madrid, sebagai respon kepada kritikan Ahli Parlimen Catalonia, Gabriel Rufian, yang menuduh pemimpin Parti Sosialis itu masih mengekalkan hubungan perdagangan dengan Israel walaupun pembunuhan beramai-ramai di Gaza masih berterusan.
"Saya ingin jelaskan satu perkara di sini, kami tidak menjalin urusan dengan negara genosid, kami tidak," tegas Sanchez.
Menurut laporan media tempatan, ini merupakan kali pertama Pedro Sanchez menggunakan istilah 'negara genosid' secara terbuka, satu frasa yang sering digunakan oleh parti Sumar. Pemimpin Sumar merangkap Timbalan Perdana Menteri Kedua, Yolanda Diaz, juga beberapa kali 'menuduh' Israel melakukan genosid dan menggesa agar hubungan perdagangan antara Sepanyol dan Israel dibekukan.
Berikutan kenyataan tegas Sanchez itu, Israel telah memanggil Duta Sepanyol, Ana Salomon, untuk menghadiri satu mesyuarat teguran rasmi di Kementerian Luar Negeri Israel di Baitul Maqdis.
"Susulan kenyataan serius yang dibuat oleh Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, Duta Sepanyol ke Israel telah dipanggil untuk satu mesyuarat teguran di Kementerian Luar Negeri esok," kata kenyataan rasmi dari pihak kementerian tersebut.
Kenyataan itu menambah lagi ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara, yang telah meningkat sejak tercetusnya konflik di Gaza.
Sumber: Anadolu Ajansi