
Pakar analisis Israel, Muhammad Abu Allan menyifatkan bahawa perang yang sedang berlaku di Gaza telah mengubah sepenuhnya segala strategi dan formula yang sebelum ini lazim digunakan oleh rejim Israel dalam perang-perang terdahulu. Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini, rejim Israel biasanya berpandukan tiga corak tetap perang, iaitu sama ada menjadi pihak pertama yang melancarkan serangan, atau memastikan perang berlaku di luar wilayah haramnya, atau mengehadkan tempoh peperangan agar tidak melebihi beberapa hari mahupun beberapa minggu.
Sebaliknya menurut Abu Allan, perang yang meletus selepas operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan pada 7 Oktober 2023 lalu telah berlaku dengan cara yang bertentangan dengan ketiga-tiga corak perang terdahulu. Hal ini kerana, pertama, kumpulan mujahidin Palestin menjadi pihak yang memulakan serangan iaitu melalui serangan mengejut ke atas penempatan haram di perbatasan Gaza-wilayah haram Israel, selain melancarkan serangan roket hebat ke kawasan pedalaman wilayah haram Israel.
Kedua, perang kali ini kini telah memasuki tahun kedua, di mana hal ini adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah konflik yang melibatkan tentera rejim Israel, yang sebelum ini tidak pernah terlibat dalam peperangan yang berlarutan begitu lama sebegini. Akibatnya, Abu Allan menjelaskan bahawa lanjutan luar biasa tempoh perkhidmatan pasukan simpanan rejim telah menimbulkan kerugian ekonomi yang besar dalam masyarakat di wilayah haram, selain memberi kesan negatif terhadap keadaan psikologi barisan askar. Keadaan ini, menurut beliau, telah menyumbang kepada peningkatan kadar bunuh diri dalam kalangan anggota tentera.
Beliau mendedahkan bahawa statistik menunjukkan sebanyak 297 cubaan bunuh diri telah direkodkan dalam tempoh setahun setengah, sambil menjelaskan bahawa bagi setiap satu kes bunuh diri yang berjaya, ada tujuh cubaan yang gagal. Beliau menganggap angka ini sebagai petanda berbahaya yang seharusnya mendorong institusi ketenteraan agar memperluaskan lagi program sokongan psikologi bagi anggota mereka. Abu Allan turut menegaskan bahawa apa yang berlaku ini tidak hanya mengesani para askar, tetapi turut mengganggu menggugat struktur sosial dalam masyarakat di wilayah haram itu. Antara yang wajar diperhatikan juga adalah peningkatan kadar perceraian dalam kalangan isteri para askar yang telah lama berkhidmat di barisan hadapan selama berbulan-bulan.
Selain itu, beberapa kes bunuh diri turut direkodkan dalam kalangan mangsa yang terselamat daripada serangan terhadap pesta Nova di kawasan penempatan haram di sempadan Gaza pada 7 Oktober, di samping lebih banyak lagi cubaan bunuh diri akibat trauma mendalam yang ditinggalkan oleh kejadian pada malam tersebut. Menurut Abu Allan, peningkatan fenomena bunuh diri dan kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan askar merupakan satu amaran serius dalam masyarakat haram Israel. Beliau menjangkakan krisis ini akan terus meruncing selagi perang berterusan dan selama mana tentera rejim Israel gagal mencapai matlamat yang mereka umumkan di Gaza.
Sumber: Shehab News Agency