Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Enam negara, termasuk Perancis, mengisytiharkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin pada sidang kemuncak berprofil tinggi yang berlangsung menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Sidang yang dianjurkan Perancis bersama Arab Saudi di New York pada Isnin menjadi pentas penting pengumuman tersebut. Selain itu, Andorra, Belgium, Luxembourg, Malta dan Monaco turut mengisytiharkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin.

Pemimpin dari Australia, Kanada, Portugal dan United Kingdom (UK), yang sehari sebelumnya mengumumkan pengiktirafan terhadap Palestin, turut menyampaikan ucapan pada sidang berkenaan.

“Kita berkumpul di sini kerana masanya sudah tiba. Tanggungjawab terletak di bahu kita untuk memastikan penyelesaian dua negara kekal menjadi pilihan. Hari ini, Perancis secara rasmi mengiktiraf Palestin.”

kata Presiden Emmanuel Macron dalam ucapannya pada sidang berkenaan.

Dengan pengiktirafan terbaharu ini, jumlah negara yang kini mengiktiraf Palestin meningkat kepada lebih 80 peratus daripada keseluruhan 193 negara anggota PBB, iaitu sekitar 147 negara pada April lalu.

Tekanan diplomatik terhadap Israel semakin memuncak ketika rejim itu meneruskan serangan genosid di Gaza, yang setakat ini meragut lebih 65,300 nyawa rakyat Palestin serta memusnahkan hampir keseluruhan wilayah berkenaan.

Sepanyol, Norway dan Ireland sudah pun mengiktiraf Palestin pada tahun lalu. Malah, Madrid turut mengenakan sekatan terhadap Israel ekoran perang di Gaza.

“Rakyat Palestin sedang dihapuskan. Atas dasar kewarasan, undang-undang antarabangsa dan maruah manusia, kita mesti hentikan pembunuhan beramai-ramai ini,”

ujar Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Dalam ucapannya, Macron turut menggariskan rancangan untuk membentuk Pihak Berkuasa Palestin yang diperbaharui. Beliau mencadangkan penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) selepas perang, bagi membantu Pihak Berkuasa Palestin (PA) mempersiapkan diri mengambil alih pentadbiran di Gaza.

Presiden PA, Mahmoud Abbas, mengalu-alukan langkah negara-negara tersebut. Beliau berucap melalui sidang video kerana tidak diberikan visa oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk hadir ke UNGA minggu ini.

“Kami menyeru mereka yang masih belum berbuat demikian supaya segera mengiktiraf Palestin. Kami juga menuntut sokongan untuk keanggotaan penuh Palestin dalam PBB,”

katanya.

Israel dan AS, yang semakin terasing dalam isu ini, memboikot sidang berkenaan. Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon, mengecam sidang tersebut sebagai sarkas.

Walaupun majoriti besar negara anggota PBB kini mengiktiraf Palestin, keanggotaan penuh tetap memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan. Namun, AS terus menggunakan kuasa veto bagi menghalang Palestin diterima sebagai anggota penuh.


Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
September 23, 2025