
Dalam satu laporan yang diterbitkan oleh akhbar Ibrani, Haaretz menceritakan pengakuan mengejutkan daripada askar-askar rejim Israel yang terlibat dalam serangan ke atas semenanjung Gaza, sekali gus meruntuhkan naratif ‘tentera paling beretika di dunia’. Mereka mendedahkan siri pelanggaran dan jenayah perang yang menyasarkan orang awam tidak bersenjata serta harta benda mereka di wilayah terkepung itu.
Haaretz memetik testimoni salah seorang askar rejim yang disifatkan sebagai mengerikan, di mana ia menceritakan kejadian ketika seorang rakyat awam Palestin dipaksa untuk masuk ke dalam sangkar, ditanggalkan pakaiannya lalu diseksa. Manakala seorang lagi askar mengaku telah melepaskan tembakan menggunakan senjata berat tepat ke arah kepala seorang warga emas disaksikan oleh tiga orang kanak-kanak.
Lebih mengejutkan, tindakan kejam tidak berperikemanusiaan itu bukannya dikenakan tindakan, malah sebaliknya testimoni mengesahkan bahawa para komander lapangan merestui perbuatan tersebut. Malah ada yang meludah ke arah mayat dan menghamburkan kata-kata kesat.Pengakuan itu turut merangkumi butiran mengenai pembunuhan askar rejim terhadap orang awam yang tidak menunjukkan sebarang reaksi melawan, seperti insiden tembakan seorang warga Palestin yang mengangkat tangan ketika diancam, sebelum laporan ketenteraan tersebut dipalsukan dan mangsa digambarkan sebagai “pengganas yang telah dilumpuhkan”.
Dalam angkatan pertahanan udara, seorang pegawai bernama Ran, mengakui bahawa perancangan serangan melalui udara dilakukan dengan mekluman awal bahawa serangan yang dilancarkan akan menyasarkan kanak-kanak. Mereka ditegaskan bahawa sasaran serangan sama ada dewasa mahupun kanak-kanak, tidak lagi menjadikan mereka berbeza pada pandangan pihak tentera rejim.
Pelanggaran ini tidak terhad kepada siri pembunuhan sahaja, malah melibatkan jenayah merompak. Askar rejim menggambarkan bagaimana aktiviti merompak dan mencuri harta benda milik rakyat Palestin seperti emas, wang dan kelengkapan rumah penduduk menjadi ‘habuan’ yang mereka nanti-nantikan ketika siri pencerobohan darat.
Laporan yang sama turut mendedahkan sisi gelap kesan psikologi yang dialami askar rejim. Seorang askar yang dikenali sebagai Yuval menyatakan, bahawa dia merasa dirinya telah berubah menjadi ‘raksasa’. Fikirannya menjadi tidak keruan, dan dihantui dengan kecenderungan untuk bunuh diri selepas menyedari dia telah membunuh orang awam yang tidak bersalah.
Seorang askar wanita yang dikenali sebagai Maya pula meluahkan rasa jijik dan hipokrit kerana berdiam diri terhadap pembunuhan-pembunuhan yang berlangsung di luar proses undang-undang dan penderaan terhadap para tahanan.
Kesemua testimoni tersebut mengukuhkan bahawa jenayah-jenayah ini berlalu tanpa sebarang pertanggungjawaban undang-undang mahupun ketenteraan, meskipun sudah ada pengakuan dilakukan secara terbuka. Hal ini menimbulkan persoalan mendalam tentang apa yang disembunyikan oleh tentera rejim di sebalik operasi tertutup, serta apa doktrin yang telah diterapkan dalam kalangan askar mereka terhadap orang awam Palestin.
Sumber: Shehab News