
Beberapa kumpulan advokasi berkaitan tahanan Palestin memberi amaran mengenai krisis kesihatan yang semakin meruncing di penjara rejim Israel susulan penularan penyakit kudis buta (scabies) dalam kalangan tahanan Palestin di beberapa pusat tahanan utama.
Amaran itu dibuat selepas siri lawatan guaman sepanjang April dan Mei lalu mendedahkan keadaan tahanan yang disifatkan semakin membimbangkan, termasuk tahap kesihatan yang merosot dan keadaan penjara yang tidak memenuhi keperluan asas.
Palestinian Prisoners Club memaklumkan bahawa penularan penyakit itu dikesan di beberapa penjara termasuk Penjara Ofer, Penjara Megiddo, Penjara al-Naqab dan Penjara Ganot.
Menurut organisasi tersebut, keadaan sel yang terlalu sesak menjadi antara faktor utama yang mempercepatkan penyebaran penyakit dalam kalangan tahanan.
“Dalam sel yang menempatkan sekurang-kurangnya lapan tahanan, sekurang-kurangnya ada tiga individu yang dijangkiti kudis buta,” menurut kenyataan organisasi itu.
Mereka turut mendakwa para tahanan hidup tanpa tahap kebersihan minimum serta tidak menerima rawatan kesihatan yang sewajarnya.
Berdasarkan testimoni tahanan, individu yang dijangkiti mengalami kegatalan serius, keradangan kulit, luka terbuka dan jangkitan berpanjangan tanpa akses kepada rawatan, pakaian bersih, selimut atau keperluan kebersihan asas.
Organisasi itu turut mendakwa pihak penjara membatalkan beberapa lawatan peguam selepas memaklumkan bahawa tahanan yang dijadualkan untuk ditemui telah dijangkiti kudis buta. Situasi itu disifatkan sebagai petanda tahap penularan wabak yang semakin serius di dalam penjara.
Dalam masa sama, kumpulan hak asasi Palestin mendakwa pihak berkuasa penjara rejim Israel terus memindahkan tahanan yang dijangkiti ke blok tahanan lain walaupun wabak sedang merebak, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan terhadap tahanan lain yang didakwa sudah lemah akibat kebuluran, penderaan dan layanan buruk berpanjangan.
Mereka menegaskan bahawa isu penularan penyakit itu tidak boleh dilihat sebagai masalah kesihatan semata-mata, sebaliknya berlaku dalam suasana penahanan yang didakwa dipenuhi unsur hukuman kolektif dan penafian hak asas tahanan.
Perkembangan itu berlaku ketika keadaan dalam pusat tahanan rejim Israel semakin mendapat perhatian antarabangsa.
Satu laporan terbaharu oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese menyifatkan penyeksaan ini sebagai ciri sistematik dalam layanan rejim Israel terhadap rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Laporan tersebut turut mendokumentasikan dakwaan melibatkan penderaan fizikal dan psikologi, penghinaan, penafian makanan dan rawatan kesihatan serta keadaan tahanan yang didakwa direka untuk menimbulkan penderitaan kolektif.
Organisasi Palestin dan antarabangsa sebelum ini turut menggambarkan pusat tahanan rejim Israel sebagai rangkaian kem penyeksaan, susulan laporan mengenai pukulan teruk, keganasan seksual, tangan bergari sepanjang masa, serangan anjing dan penafian rawatan kecemasan.
Kumpulan hak asasi turut mengaitkan keadaan itu dengan apa yang pernah digelar Menteri Keselamatan Nasional wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir, sebagai ‘revolusi penjara’, yang menyaksikan pelaksanaan langkah tahanan lebih keras dan sekatan lebih ketat.
Menurut anggaran organisasi tersebut, lebih 10,000 rakyat Palestin kini ditahan di penjara rejim Israel, termasuk wanita, kanak-kanak serta ribuan tahanan pentadbiran yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Sumber: The Palestine Chronicle