Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut laporan media Ibrani, rejim haram Israel kini berdepan wabak campak yang telah meragut nyawa lapan bayi setakat ini. Pihak berkuasa dilaporkan sedang bergelut mengekang penularan virus yang sangat mudah berjangkit itu, yang kini merebak ke sembilan penempatan di seluruh wilayah haram tersebut.


Laporan pada hari Ahad menyatakan bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan di Pusat Perubatan Universiti Hadassah, Ein Kerem selepas sepuluh hari dirawat dalam keadaan kritikal.


Kematian terbaharu itu merupakan kes kelapan sejak wabak berkenaan bermula pada April lalu. Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan bahawa semua lapan kanak-kanak yang meninggal dunia tidak menerima vaksin dan berusia bawah dua tahun setengah.


Gelombang semasa yang pada awalnya tertumpu di kawasan dengan kadar vaksinasi yang rendah seperti Baitul Maqdis (Jerusalem), Beit Shemesh dan Bnei Brak kini telah merebak dengan ketara sejak kebelakangan ini.


Data rasmi menunjukkan bahawa lebih daripada 1,700 pesakit telah disahkan menghidap wabak ini namun statistik menganggarkan jumlah sebenar individu yang dijangkiti mungkin mencecah 5,000 orang.


“Kami tahu bahawa penyakit ini tidak dilaporkan sepenuhnya dan terdapat beberapa ribu pesakit tambahan yang dijangkiti,” kata pakar epidemiologi Israel, Sharon Alroy-Preis.


Penyakit ini memberi tekanan besar ke atas sistem kesihatan Israel, dengan 468 pesakit dimasukkan ke hospital dan 93% daripadanya adalah kanak-kanak.


Sumber: Roya News

Written by
Admin
Published on
October 28, 2025