
Menurut Al Jazeera, dalam pelanggaran nyata terhadap pengumuman gencatan senjata, tentera rejim Israel meneruskan serangan ke atas semenanjung Gaza.
Jentera perang dan kereta kebal milik rejim Zionis Israel bertindak mengebom kawasan pantai dan al-Mawasi di bandar Rafah, selatan semenanjung Gaza. Pada masa yang sama, serangan udara turut dilancarkan ke atas beberapa buah kawasan lain di bandar Gaza dan Khan Yunis, sekali lagi melanggar perjanjian gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.
Sumber perubatan di hospital-hospital Gaza melaporkan seramai 41 rakyat Palestin telah terkorban, termasuk 17 orang kanak-kanak, manakala sekurang-kurangnya 50 orang cedera dalam siri serangan udara tentera rejim yang menyasarkan pelbagai kawasan di seluruh wilayah berkenaan.
Kompleks Perubatan Nasser memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak maut dalam serangan yang menyasarkan sebuah pangsapuri di kejiranan al-Amal, yang terletak di barat laut Khan Yunis. Sementara dalam serangan berasingan di kawasan al-Yarmouk, di tengah bandar Gaza, tiga lagi mangsa terkorban, termasuk seorang kanak-kanak perempuan. Tidak lama selepas itu, pasukan pertahanan awam melaporkan bahawa mereka telah menemui empat lagi mayat dari bawah runtuhan sebuah rumah milik keluarga al-Banna di kejiranan al-Sabra.
Menurut saksi, pasukan penyelamat berdepan situasi yang amat sukar untuk mengeluarkan mangsa yang masih belum ditemui berikutan serangan pengeboman yang berterusan serta kehadiran pesawat tempur rejim Zionis Israel yang terus berlegar di ruang udara Gaza.
Di pihak rejim Israel, Saluran 12 memetik seorang pegawai kanan yang menjelaskan bahawa serangan di Gaza tidak bertujuan menamatkan gencatan senjata, sebaliknya untuk memastikan pelaksanaannya dipatuhi. Pegawai tersebut turut menegaskan bahawa HAMAS perlu berwaspada terhadap kemungkinan tercetusnya semula perang.
Saluran itu juga melaporkan bahawa penasihat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menasihati Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu agar tidak bertindak secara berlebihan yang boleh menjejaskan perjanjian gencatan senjata. Pada masa yang sama, mereka mencadangkan agar Washington mengeluarkan amaran yang lebih tegas terhadap HAMAS.
Sementara itu, kerajaan Turkiye mengecam keras serangan terkini pihak rejim, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa antara HAMAS dan Tel Aviv.
Dalam perkembangan berkaitan, sayap ketenteraan HAMAS, Briged al-Qassam, mengumumkan penangguhan penyerahan mayat seorang askar rejim Israel yang ditemui di sebuah terowong di Khan Yunis. Menurut kenyataan mereka, pelanggaran berterusan oleh pihak rejim telah menjejaskan operasi pencarian dan pengambilan mayat, serta memberi amaran bahawa sebarang peningkatan ketegangan baharu akan menyebabkan kelewatan tambahan dalam proses penyerahan mayat askar-askar mereka.
Sementara itu, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), J.D. Vance dalam satu kenyataan berkata bahawa Washington menjangkakan tindak balas daripada rejim Israel selepas serangan yang menyasarkan seorang askarnya di Gaza. Namun, beliau menegaskan bahawa gencatan senjata masih kekal utuh setakat ini.
Sumber: Al Jazeera