Ben Cohen, pengasas bersama syarikat ais krim terkemuka Ben & Jerry's, telah ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat selepas melakukan protes semasa satu sesi pendengaran di Senat AS.
Kejadian itu berlaku ketika Menteri Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr., sedang memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Senat. Cohen dilaporkan bangkit dan melaungkan kenyataan mengkritik dasar luar Amerika Syarikat serta tindakan ketenteraan AS di Gaza.
"Kongres sedang membunuh kanak-kanak di Gaza dengan membeli bom dan membayarnya dengan menyingkirkan kanak-kanak dari program Medicaid di Amerika,"
laung Cohen, merujuk kepada bantuan ketenteraan Amerika kepada Israel serta pemotongan dana kebajikan domestik.
Beliau turut menambah bahawa sekatan terhadap Gaza perlu ditamatkan segera.
"Sekatan mesti dilonggarkan, dan makanan mesti dibawa masuk ke dalam Gaza. Kanak-kanak yang kelaparan mesti diberi makan,"
katanya dengan lantang sebelum digiring keluar oleh pasukan keselamatan.
Rakaman video insiden menunjukkan Cohen diusir secara kasar oleh pegawai polis Capitol sebelum ditahan di luar dewan. Penahanan itu merupakan sebahagian daripada siri protes yang telah dijalankan oleh Cohen sejak beberapa bulan lalu, khususnya terhadap tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan sokongannya terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Cohen sebelum ini dikenali bukan sahaja sebagai usahawan tetapi juga sebagai aktivis sosial lantang yang sering bersuara mengenai isu hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa. Syarikat Ben & Jerry's sendiri pernah menarik perhatian antarabangsa apabila menghentikan operasi di wilayah Palestin yang dijajah, sebagai tanda protes terhadap penjajahan Israel.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai status penahanan Cohen.
Sumber: Shehab Agency, Middle East Monitor