
Beberapa penganalisis politik Israel berpandangan bahawa sebarang perjanjian yang bakal dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berpotensi memberikan kemenangan politik kepada Tehran, meskipun negara itu berdepan tekanan ketenteraan dan sekatan antarabangsa sejak sekian lama.
Wartawan Israel, Ben-Dror Yemini, dalam tulisannya di akhbar Israel Hayom menyatakan bahawa sebarang perjanjian yang dicapai tanpa menyelesaikan isu program peluru berpandu balistik Iran dan pengaruh sekutu-sekutunya di rantau Asia Barat akan dilihat sebagai satu kemenangan politik kepada Tehran.
Menurut beliau, perjanjian sedemikian secara tidak langsung akan membawa kepada pengiktirafan AS terhadap Iran yang disifatkannya sebagai semakin kuat dan lebih radikal. Yemini turut mengakui bahawa tentera rejim Israel gagal mencapai kemenangan mutlak dalam beberapa konflik yang disertainya.
“Iran akan terus menjadi ancaman serantau, manakala Israel akan terus berdepan ancaman peluru berpandu balistik. Hizbullah, kumpulan Houthi, militia Syiah di Iraq dan HAMAS akan terus beroperasi dengan sokongan kewangan Iran,” katanya.
“Perang di Gaza telah berlarutan selama dua tahun, namun HAMAS tidak berjaya ditewaskan. Begitu juga Iran yang dibedil selama 40 hari tetapi tetap tidak tumbang,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui wujud penyelarasan taktikal yang belum pernah berlaku sebelum ini antara Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden AS, Donald Trump, namun kerjasama tersebut gagal diterjemahkan kepada strategi jangka panjang.
Sementara itu, penganalisis politik Israel, Ben Caspit, dalam artikelnya di akhbar Maariv berpendapat bahawa walaupun Israel mendakwa mencapai kejayaan ketenteraan terhadap HAMAS, Hizbullah dan Iran, kerajaan pimpinan Netanyahu sebenarnya sedang membawa negara itu ke arah kekalahan politik yang berbahaya.
Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada kebergantungan yang berlebihan terhadap Trump, kegagalan memanfaatkan peluang strategik serta kecuaian dalam menangani ancaman jangka panjang.
“Kekalahan politik jauh lebih besar daripada kejayaan ketenteraan. Satu-satunya perkara yang mengatasi kemenangan tentera Israel terhadap HAMAS, Hizbullah dan Iran ialah kekalahan politik yang sedang dialami,” katanya.
Beliau turut mendakwa Netanyahu kini terlalu bergantung kepada Trump sehingga menjejaskan keupayaan Israel membuat keputusan strategiknya sendiri.
Mengulas kemungkinan perjanjian dengan Iran, Caspit berkata Tehran tidak menunjukkan sebarang hasrat untuk menghentikan program nuklear atau menyerahkan simpanan uraniumnya.
Dalam pada itu, penganalisis akhbar Haaretz, Zvi Bar'el, berpendapat bahawa adalah lebih baik tiada sebarang perjanjian dicapai berbanding memeterai perjanjian yang disifatkan hanya merugikan.
Dalam artikelnya yang bertajuk Iran is not content with mere survival, it aspires to be a superpower, beliau menjelaskan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) yang sedang dibincangkan bukanlah perjanjian muktamad, sebaliknya hanya dokumen yang menggariskan prinsip dan prosedur asas bagi rundingan seterusnya.
Menurutnya, isu program peluru berpandu balistik Iran dan rangkaian sekutunya di rantau Asia Barat juga dijangka tidak akan menjadi sebahagian daripada rundingan tersebut.
Sumber: Anadolu Ajansi