Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kumpulan peneroka haram Israel yang merampas tanah milik rakyat Palestin telah memperluas sebuah pos penempatan haram di bandar Nablus, utara Tebing Barat.


Organisasi perundangan al-Baidar memaklumkan bahawa kumpulan peneroka haram tersebut telah menambah rumah pasang siap ke sebuah pos penempatan haram yang didirikan di Gunung Qarqafa, antara bandar Aqraba dan Jurish, di tenggara Nablus.


Peneroka haram Israel merampas tanah rakyat Palestin dalam usaha mengilhakkan wilayah Palestin yang baharu.


Kenyataan tersebut menegaskan bahawa langkah ini merupakan sambungan kepada peluasan pos-pos penempatan haram di atas tanah Palestin yang semakin membahayakan komuniti Palestin di kawasan berkenaan serta secara langsung mengancam hak tanah dan harta milik rakyat Palestin.


Peneroka haram tersebut turut menebang kira-kira 150 pokok zaitun milik rakyat Palestin di timur al-Khalil (Hebron).


Peneroka haram ini lazimnya mendirikan pondok sementara  terlebih dahulu yang dibina daripada pelbagai bahan di kawasan yang mereka rancang untuk dijadikan pos penempatan haram, kemudian memagar kawasan tersebut dan membina jalan masuk sebagai persediaan untuk penempatan haram kekal.


Walaupun pos-pos penempatan ini turut dianggap haram oleh pihak berkuasa Israel sendiri, kebanyakannya akhirnya ditukar menjadi penempatan haram Yahudi selepas satu tempoh tertentu.


Menurut data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan oleh peneroka haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki telah mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 20 tahun sejak rekod mula disimpan.


Dianggarkan seramai 451,000 warga haram Israel tinggal di Tebing Barat yang diduduki dan sekitar 230,000 lagi di Baitul Maqdis Timur, semuanya di atas tanah Palestin yang dirampas. Menurut undang-undang antarabangsa, rampasan ini adalah tidak sah.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
December 26, 2025