Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pendatang haram Israel telah menyekat jalan utama di kawasan tengah Tebing Barat pada Ahad dan menyerang kenderaan penduduk Palestin dengan membaling batu.


Sumber berkenaan memaklumkan kepada Anadolu Ajansi bahawa sekumpulan penduduk haram Israel menutup pintu masuk utama ke bandar Deir Dibwan, timur Ramallah. Mereka turut menghalang kenderaan penduduk Palestin dengan membaling batu, menyebabkan cermin beberapa buah kenderaan pecah. Tiada kecederaan dilaporkan.


Dalam serangan berasingan, penjajah Israel turut membaling batu ke arah kenderaan Palestin di pintu masuk utara bandar Al-Bireh di Tebing Barat tengah.


Sumber tempatan melaporkan bahawa sekumpulan penduduk mengambil posisi di sebuah menara pemantauan tentera Zionis di kawasan berkenaan sebelum membaling batu ke arah kenderaan yang lalu. Tindakan itu menyebabkan kerosakan pada beberapa kenderaan, namun tiada kecederaan dilaporkan.


Penduduk Israel telah meningkatkan serangan mereka terhadap rakyat Palestin dan tanah mereka di seluruh Tebing Barat yang diduduki sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023.


Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan oleh penjajah Israel di Tebing Barat sejak awal tahun 2026.


Data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok menunjukkan bahawa tentera dan warga haram Israel telah melancarkan sejumlah 1,819 serangan pada bulan Mac.


Lebih daripada 1,150 rakyat Palestin telah terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam serangan oleh tentera Israel dan penjajah di seluruh Tebing Barat sejak Oktober 2023, menurut data rasmi Palestin.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
April 27, 2026