
Pendakwa raya Rom telah membuka siasatan terhadap dakwaan penyeksaan ke atas aktivis yang terlibat dalam Global Sumud Flotilla (GSF) susulan aduan yang difailkan oleh 36 peserta Itali dalam misi penghantaran bantuan ke Gaza.
Penyiasat sedang meneliti dakwaan bahawa para aktivis telah didera selepas pihak berkuasa Zionis memintas bot-bot tersebut semasa misi pada bulan Oktober, menurut laporan agensi berita ANSA pada Selasa.
Siasatan itu sebelum ini turut meneliti dakwaan penculikan, rompakan dan kerosakan jenayah yang berpotensi menyebabkan kapal karam.
Siasatan dijalankan terhadap individu yang tidak dikenal pasti. Pendakwa raya baru-baru ini telah menemu bual individu yang terlibat dalam flotila tersebut dan sedang bersiap untuk menghantar letter rogatory (permintaan rasmi bantuan kehakiman daripada mahkamah di satu negara kepada mahkamah di negara lain) kepada rejim haram Israel sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.
Salah satu aduan yang dikemukakan oleh aktivis Antonio La Piccirella menyatakan bahawa pelanggaran hak asasi manusia secara menyeluruh telah berlaku di Ashdod, pelabuhan di mana mereka yang berada di atas kapal dibawa selepas dipintas.
Aduan itu menyatakan bahawa tentera haram Israel telah merampas semua barangan peribadi aktivis dan menjalankan pemeriksaan yang melibatkan keganasan fizikal tanpa sebab. Beliau turut menambah bahawa inilah sebabnya sebahagian aktivis mengalami patah tangan.
Sumber: Anadolu Ajansi