
Menurut seorang pegawai kanan Turkiye, negara itu kini berusaha memastikan laluan selamat bagi kira-kira 200 orang awam yang terperangkap di dalam terowong di Gaza, susulan kejayaan memudahkan pemulangan mayat seorang askar Israel yang terbunuh di kawasan sama lebih sedekad lalu.
Gerakan Pejuang Palestin, HAMAS, sebelum ini menegaskan bahawa para pejuangnya yang bersembunyi di kawasan Rafah — kini di bawah kawalan Zionis — tidak akan menyerah diri kepada pihak penjajah. Gerakan itu turut menggesa para perantara mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan krisis yang boleh menggugat gencatan senjata yang telah bertahan selama sebulan.
Dalam perkembangan berasingan pada Ahad, rejim Israel memaklumkan bahawa mereka telah menerima mayat Hadar Goldin, seorang pegawai tenteranya yang terbunuh dalam serangan hendap di Gaza semasa perang Israel-HAMAS pada tahun 2014, selepas diserahkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Menurut pegawai tersebut, “Turkiye berjaya memudahkan pemulangan mayat Hadar Goldin ke wilayah haram Israel selepas 11 tahun hasil usaha intensif yang mencerminkan komitmen jelas HAMAS terhadap gencatan senjata.”
“Pada masa yang sama, kami sedang berusaha memastikan laluan selamat bagi kira-kira 200 orang awam Gaza yang kini terperangkap di dalam terowong,” katanya kepada Reuters.
Turkiye merupakan salah satu pihak yang menandatangani perjanjian gencatan senjata antara Israel dan HAMAS bulan lalu, yang disokong oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Negara itu juga dikenal pasti mempunyai hubungan baik dengan HAMAS serta lantang mengkritik kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Sumber: Reuters, Al Jazeera