
Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menekankan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di semenanjung Gaza, menyatakan bahawa lebih 60 juta tan metrik runtuhan telah menjejaskan wilayah itu akibat kemusnahan yang dilakukan oleh rejim Israel.
“Saya baru sahaja kembali dari Gaza dan krisis kemanusiaan semakin meruncing,” kata Jorge Moreira da Silva, Setiausaha Agung PBB dan Pengarah Eksekutif Pejabat Perkhidmatan Projek Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOPS).
Beliau turut menyatakan bahawa penduduk Gaza berada dalam keletihan, trauma dan tertekan, selain keadaan musim sejuk yang mencengkam serta hujan lebat minggu ini telah menggandakan penderitaan dan keputusasaan rakyat.
“Gaza mempunyai lebih daripada 60 juta tan runtuhan, bersamaan kapasiti hampir 3,000 kapal kontena,” katanya, sambil menambah bahawa secara purata, setiap individu di Gaza hari ini dikelilingi oleh 30 tan runtuhan.
“Proses membersihkan runtuhan ini berkemungkinan mengambil masa lebih tujuh tahun,” katanya lagi.
Dalam satu sidang media, Da Silva berkata bahawa lebih 80 peratus infrastruktur telah musnah dan tiada tempat lain di dunia yang mempunyai lebih 60 juta tan metrik runtuhan dalam kawasan yang sekecil itu.
Menurut beliau, masalah runtuhan ini bukan sekadar jumlah tetapi kandungan runtuhan tersebut termasuk asbestos, mayat manusia dan bahan letupan yang tidak meletup.
Sumber: Anadolu Ajansi