
Seramai 2.1 juta penduduk semenanjung Gaza masih terperangkap di kawasan yang meliputi kurang daripada separuh wilayah itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric memaklumkan bahawa sekatan yang berterusan telah menyebabkan penduduk Gaza tidak dapat bergerak bebas, termasuk akses ke kawasan yang mempunyai rizab tanah dan kemudahan kritikal.
Beliau turut berkata kepada Program Makanan Sedunia (WFP) dan mengesahkan bahawa tahap kekurangan zat makanan di Gaza semakin meningkat, manakala akses kepada bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan asas terus terjejas akibat sekatan kemasukan barangan penting serta halangan terhadap operasi rakan-rakan kemanusiaan utama.
Dalam satu kenyataan media, Dujarric menegaskan bahawa, “Sekatan terhadap kemasukan bahan-bahan asas serta sekatan ke atas operasi beberapa rakan kerjasama utama kami telah menghalang usaha baik pulih semula perkhidmatan tempatan di Gaza.”
Tambah beliau, meskipun wujudnya usaha bantuan kemanusiaan yang berterusan, namun keperluan penduduk masih jauh melebihi kemampuan bantuan yang berjaya disalurkan.
Pada masa sama, jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Thameen Al-Kheetan, sebelum ini menggesa pihak berkuasa rejim Israel supaya menarik balik semua sekatan berkaitan keperluan asas kehidupan serta membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza tanpa sebarang halangan. Beliau menegaskan bahawa keadaan di Gaza kekal sangat kritikal, dengan penduduk menghadapi kekurangan kritikal bekalan air bersih, makanan, gas memasak dan pelbagai keperluan asas lain.
Di samping itu, Al-Kheetan turut menyatakan bahawa sistem kesihatan dan perkhidmatan asas di wilayah tersebut terus terjejas, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sedia genting.
Sumber: Shehab News, The Star