Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Parlimen rejim Israel telah meluluskan kelulusan awal rang undang-undang (RUU) bagi mengenakan kedaulatan wilayah haramnya ke atas Tebing Barat yang diduduki, yang dilihat sebagai satu langkah yang bersamaan dengan pengilhakan wilayah Palestin dan merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.


Walaupun menerima tentangan daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan parti Likud pimpinannya, ahli-ahli Knesset yang memiliki 120 kerusi mengundi 25-24 pada Selasa untuk meluluskan rang undang-undang itu ke peringkat seterusnya — undian pertama daripada empat yang diperlukan sebelum ia boleh diwartakan sebagai undang-undang.


Menurut kenyataan Knesset, rang undang-undang itu diluluskan pada bacaan awal bagi menerapkan kedaulatan negara haram Israel ke atas wilayah Judea dan Samaria (Tebing Barat). RUU berkenaan kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Knesset untuk perbincangan lanjut.


Undian itu berlangsung sebulan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa beliau tidak akan membenarkan rejim Israel mengilhak Tebing Barat yang diduduki. Ia juga diadakan ketika lawatan Naib Presiden AS, JD Vance, ke wilayah haram itu bagi mengukuhkan perjanjian gencatan senjata di Gaza.


Dalam satu kenyataan, parti Likud menyifatkan undian tersebut sebagai satu lagi provokasi oleh pihak pembangkang yang bertujuan merosakkan hubungan mereka dengan AS.


“Kedaulatan sebenar tidak akan dicapai melalui undang-undang yang bersifat pameran, tetapi melalui tindakan yang betul di lapangan,” tambah kenyataan itu lagi.


Pengilhakan Tebing Barat yang diduduki secara efektif akan menamatkan kemungkinan pelaksanaan penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Penganalisis politik Israel, Ori Goldberg menyifatkan undian tersebut sebagai langkah ‘simbolik’ Knesset terhadap Netanyahu berhubung perjanjian gencatan senjata Gaza, di tengah-tengah rungutan bahawa perjanjian itu telah dipaksakan ke atas Israel oleh AS dan kuasa-kuasa Timur Tengah.


“Hari ini, Knesset meluluskan bacaan awal rang undang-undang yang menyeru agar kedaulatan Israel dikenakan ke atas Tebing Barat, yang secara teknikal menyerupai tindakan pengilhakan. Namun, ia hanyalah satu isyarat bersifat retorik,” katanya.


Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Israel di bawah Perjanjian Abraham yang diusahakan oleh Trump pada penggal pertamanya, bulan lalu memberi amaran bahawa mereka menganggap pengilhakan Tebing Barat sebagai satu tindakan melangkaui garisan merah.


Sumber: Al Jazeera, Anadolu Agency

Written by
Admin
Published on
October 23, 2025