
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Rabu bahawa usaha pembinaan semula semenanjung Gaza tidak akan berjaya selagi pendudukan tentera rejim Israel tidak ditamatkan dan selagi usaha baik pulih tidak berasaskan hak asasi manusia serta penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
“Pendudukan rejim mesti ditamatkan. Perampasan serta diskriminasi terhadap hak rakyat Palestin mesti dihentikan jika pembinaan semula Gaza benar-benar ingin direalisasikan,” kata pakar dalam satu kenyataan.Dengan merujuk kepada Penilaian Segera Kerosakan dan Keperluan Gaza (RDNA), mereka menyatakan bahawa lebih 371,000 unit perumahan telah musnah atau rosak, 1.9 juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal dan lebih 60% penduduk masih tidak mempunyai rumah. Manakala keperluan pembinaan semula pula dianggarkan memerlukan lebih $71 bilion.
“Data ini mengesahkan wujudnya corak diskriminasi yang berstruktur dan mesti diperbetul dengan segera dalam usaha pembinaan semula,” kata mereka, sambil memberi amaran bahawa wanita, golongan orang kurang upaya dan warga emas menanggung kesan yang lebih berat.
Para pakar menegaskan bahawa pembinaan semula mesti bersifat inklusif, melibatkan penyertaan semua pihak, telus dan bertanggungjawab. Rakyat Palestin turut memainkan peranan utama dalam membuat keputusan selaras dengan hak penentuan nasib mereka sendiri di bawah undang-undang antarabangsa.
Mereka turut mempersoalkan aspek tadbir urus proses tersebut, dengan menyatakan bahawa penilaian itu tidak menjelaskan pihak yang akan menyelia pembinaan semula atau sama ada cadangan Lembaga Keamanan (BOP) oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Para pakar juga bimbang bahawa penilaian tersebut tidak cukup menekankan prinsip hak asasi manusia, serta memberi amaran bahawa penekanan berlebihan terhadap keperluan kewangan dan infrastruktur boleh menjadikan perumahan sekadar tempat berlindung semata-mata, yang tidak menjamin maruah, keselamatan dan kelestarian jangka panjang.
Mereka berkata pembinaan semula boleh berubah menjadi perlumbaan bersifat keuntungan jika tiada langkah perlindungan bagi golongan rentan. “Pembinaan semula bukan hanya tentang membina semula struktur – ia adalah tentang mengembalikan semula hak, maruah dan kesaksamaan,” kata mereka.
Mereka menggesa negara-negara dan penyumbang agar meletakkan hak asasi manusia sebagai teras dalam pembinaan semula Gaza, sambil memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian berisiko mengukuhkan ketidakadilan dan memanjangkan penderitaan rakyat Palestin untuk generasi akan datang.
Sumber: Anadolu Ajansi