Pada Ahad lalu, pasukan tentera Israel telah membunuh wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif dan Mohammed Qreiqa. Empat lagi wartawan turut terkorban dalam serangan yang menyasarkan sebuah khemah yang digunakan petugas media di luar Hospital al-Shifa, Gaza.
Pembunuhan itu berlaku selepas beberapa minggu berlakunya hasutan awam terhadap kakitangan Al Jazeera. Jurucakap Tentera Pertahanan Israel (IDF) bagi bahasa Arab, Kolonel Avichay Adraee, berulang kali menyasarkan al-Sharif dengan menuduhnya menyebarkan propaganda palsu dan menyokong agenda pengganas.
Selepas serangan itu, Israel mengaku bertanggungjawab dan mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah. Pegawai Israel melabelkan al-Sharif sebagai militan unit Nukhba, askar dan ketua kumpulan pejuang, manakala dakwaan lain menggambarkannya sebagai ketua unit anti-kereta kebal Hamas serta ketua unit pelancar roket. Israel dilihat cuba membawa naratif ini tanpa berusaha menjadikannya lebih meyakinkan.
Wartawan Palestin dan bekas tahanan Israel, Mohammad Alqeeq, memberitahu Quds News Network (QNN) bahawa pembunuhan itu bertujuan menakutkan wartawan asing. “Netanyahu berkata dia akan membenarkan petugas media memasuki Gaza untuk melihat fakta. Tujuan utamanya adalah menghantar mesej bahawa tiada tempat selamat dan sesiapa yang bertegas menyatakan kebenaran akan diburu,” katanya.
Pengkaji, Saeed Ziad, menyifatkan pembunuhan itu sebagai pendahuluan kepada pembunuhan beramai-ramai yang lebih besar yang sedang dirancang Israel terhadap penduduk Gaza yang masih hidup. Beliau berkata Israel mahu membungkam suara yang menyampaikan kebenaran sebelum memulakan jenayah tersebut.
Penganalisis politik, Ahmed al-Heila menegaskan bahawa ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas.
“Rejim penjajah telah membunuh 236 wartawan di Gaza dalam tempoh 22 bulan. Dalam Perang Dunia Kedua, hanya sekitar 150 wartawan terbunuh dalam tempoh enam tahun. Israel mahu membunuh penyampai kebenaran sebelum operasi ketenteraan mereka yang seterusnya,” katanya.
Al-Heila turut menegaskan bahawa khemah petugas media itu menjadi sasaran serangan Israel secara sengaja.
“Mereka mengebom khemah wartawan di luar Hospital al-Shifa untuk menyembunyikan apa yang mungkin berlaku dalam serangan akan datang.”
Pembunuhan Anas al-Sharif bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya merupakan serangan yang dirancang untuk menyasarkan mereka yang mendokumentasikan realiti di Gaza. Pakar sependapat bahawa Israel mahu memusnahkan kebenaran dan penyampainya.
Sumber: Quds News Network