Dana kekayaan berdaulat Norway, yang merupakan dana pelaburan terbesar di dunia dengan aset bernilai kira-kira AS$2 trilion, mengumumkan penjualan pegangan dalam 11 syarikat Israel serta penamatan semua kontrak dengan pengurus aset yang mengendalikan pelaburan di negara itu.
Langkah ini diambil susulan pendedahan media bahawa dana tersebut telah melabur dalam Bet Shemesh Engines Holdings (BSEL), sebuah syarikat yang membekalkan komponen enjin jet pejuang kepada tentera rejim Zionis, termasuk pesawat yang digunakan dalam serangan di Gaza. Laporan akhbar Aftenposten mendedahkan pelaburan itu meningkat selepas permulaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, sekali gus mendorong arahan segera daripada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store untuk menjalankan semakan khas yang diketuai oleh Menteri Kewangan Norway, Jens Stoltenberg.
Ketua Eksekutif Norges Bank Investment Management (NBIM), Nicolai Tangen, menyifatkan langkah itu sebagai respons terhadap keadaan luar biasa, sambil menegaskan bahawa situasi di Gaza merupakan krisis kemanusiaan serius. Beliau berkata dana tersebut telah lama memantau syarikat yang beroperasi di zon konflik, dengan pemantauan terhadap syarikat Israel diperhebat sejak akhir 2024.
NBIM melaporkan bahawa pada separuh pertama tahun 2025, dana tersebut mempunyai pegangan dalam 61 syarikat Israel. Namun, 11 daripadanya tidak termasuk dalam indeks penanda aras ekuiti — penanda aras yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan untuk mengukur prestasi dana tersebut.
Selain BSEL, dana tersebut sebelum ini telah menjual pegangan dalam sebuah syarikat tenaga dan telekomunikasi Israel. Pada Jun lalu, dana pencen terbesar Norway juga memutuskan hubungan dengan syarikat yang mempunyai urusan dengan Israel, walaupun Parlimen Norway menolak usul untuk melupuskan semua pelaburan dalam syarikat yang beroperasi di wilayah Palestin yang dijajah.
Tekanan terhadap institusi kewangan Eropah untuk memutuskan hubungan dengan syarikat Israel semakin meningkat. Bulan lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Palestin, Francesca Albanese, menggesa semua negara memutuskan semua hubungan perdagangan dan kewangan dengan Israel, melaksanakan embargo senjata sepenuhnya dan menghentikan sokongan kepada ekonomi Israel.
Sumber: Al Jazeera, Quds News Network