Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pada Rabu lalu dalam satu ucapan di Muzium "Yad Vashem" di Baitul Maqdis bahawa,
"Jika kami terpaksa meneruskan perang ini bersendirian, maka kami akan lakukannya."
Netanyahu menyatakan bahawa beliau telah bercakap dengan tegas terhadap pihak-pihak dalam masyarakat antarabangsa yang cuba menghalang tindakan Israel (tanpa menyatakan siapa).
"Mereka memberi amaran bahawa mereka akan mengenakan sekatan senjata ke atas kami jika kami memasuki Rafah (selatan Gaza)... dan mereka telah melaksanakan ancaman itu," katanya.
Beliau mendakwa,
"Ketika itu saya katakan kepada pihak yang berunding dengan kami, termasuk sekutu kami Amerika Syarikat, bahawa tangan kami tidak akan terikat dan tiada siapa yang boleh menghalang kami daripada mempertahankan diri. Kami akan masuk ke Rafah kerana ia adalah syarat mutlak untuk mencapai kemenangan dalam perang ini."
Netanyahu menegaskan bahawa,
"Israel tidak tunduk kepada sebarang tekanan, dan tiada negara akan menghalang kami daripada menyelesaikan perhitungan dengan HAMAS. Jika kami perlu berdiri bersendirian, kami akan lakukan."
Beliau turut mendakwa bahawa sekiranya Israel kalah dalam konfrontasi dengan Iran,
"Negara-negara Barat akan menjadi sasaran seterusnya. Ia akan berlaku lebih cepat daripada apa yang mereka sangkakan, tetapi Israel tidak akan kalah, tidak akan menyerah dan tidak akan tunduk."
Tambahnya lagi,
"Rejim di Iran bukan sahaja mengancam masa depan kami, malah nasib seluruh umat manusia, terutamanya jika mereka memperoleh senjata nuklear," katanya menurut laporan TV Al-Arabiy.
Sumber: TV Al-Arabiy