Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Satu sumber politik dan keselamatan serantau mendedahkan bahawa Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu tidak mempunyai banyak pilihan selain menerima gencatan senjata yang dipersetujui menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut sumber yang dipetik oleh rangkaian berita Lubnan, Al Mayadeen, kenyataan-kenyataan terbaharu pemimpin rejim Israel mencerminkan kegagalan politik dan ketenteraan serta ketegangan dalaman yang semakin memuncak dalam negara itu.

Beliau berkata, sama ada bersetuju atau tidak, Netanyahu terpaksa menerima gencatan senjata yang berasaskan MoU tersebut. Sumber itu turut berpandangan bahawa retorik keras yang sering digunakan Netanyahu sebelum ini lazimnya menandakan persediaan ke arah fasa politik baharu dan bukannya penolakan terhadap sesuatu perjanjian.

Dalam masa sama, beliau mendakwa pihak pejuang berjaya memaksakan pelaksanaan gencatan senjata dan akan terus berusaha sehingga semua tentera rejim berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan.

Menurut sumber itu lagi, peringkat awal jadual pengunduran tentera rejim Israel telah disediakan dan kini sedang melalui proses penelitian sebagai sebahagian daripada pelaksanaan fasa pertama MoU berkenaan.

Perkembangan itu berlaku selepas perunding Iran dan AS dilaporkan mencapai persetujuan dalam rundingan di Switzerland untuk mewujudkan mekanisme penyelesaian pertikaian yang melibatkan Iran, AS, Lubnan, Qatar dan Pakistan.

Sementara itu, serangan tentera rejim Israel di selatan Lubnan dilaporkan berterusan meskipun gencatan senjata telah diumumkan.

Pasukan Pertahanan Awam Lubnan memaklumkan dua individu terbunuh dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran Kfar Rumman. Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan mangsa terbunuh selepas dron tersebut menyerang sebuah kenderaan di jalan menuju Tallat al-Dabsha berhampiran Doha Kfar Rumman.

Dalam perkembangan berasingan, satu unit tentera rejim Israel yang diiringi jentolak D9 dilaporkan memasuki Ain Arab sehari selepas tentera Lubnan membuka semula laluan masuk ke kawasan tersebut dan penduduk kembali ke kediaman masing-masing.

Menurut NNA, tentera rejim Israel turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan supaya meminta penduduk meninggalkan rumah mereka sebelum jam 5 petang, sambil mengancam untuk merobohkan bangunan yang masih diduduki.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, jumlah korban akibat serangan rejim Israel sejak konflik kembali memuncak pada 2 Mac lalu kini meningkat kepada 4,211 orang terbunuh, manakala 12,173 lagi dilaporkan cedera.


Sumber: The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
June 25, 2026