Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Khamis menandatangani pelan penempatan haram E1 yang bertujuan memperluas penempatan Ma’ale Adumim di Tebing Barat, sekali gus menegaskan penolakannya terhadap penubuhan negara Palestin.

Pelan tersebut dilihat sebagai strategi untuk mengasingkan Baitul Maqdis Timur daripada komuniti Palestin, selain memutuskan kesinambungan geografi dan demografi antara utara dan selatan Tebing Barat. Langkah ini berisiko menggagalkan penubuhan negara Palestin dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negaranya.

Menurut Gabenor Baitul Maqdis, perjanjian bernilai sekitar 3 bilion shekel itu melibatkan projek infrastruktur berskala besar yang membuka jalan kepada pembinaan lebih 7,600 unit penempatan baharu, termasuk 3,400 unit di kawasan E1 timur Baitul Maqdis. Perjanjian tersebut dimeterai dengan kehadiran Netanyahu, Menteri Kewangan Israel, Kementerian Perumahan Israel, anggota Knesset serta pertubuhan kolonial.

“Tidak akan ada negara Palestin. Tempat ini milik kami,” tegas Netanyahu semasa lawatan ke Ma’ale Adumim.

Menteri Kewangan Israel merangkap pegawai kanan Kementerian Pertahanan, Bezalel Smotrich, menyifatkan pelan penempatan E1 sebagai “Zionisme terbaik” kerana menghubungkan Ma’ale Adumim terus ke Baitul Maqdis. Sebelum ini, dia turut mengumumkan kelulusan tender bagi pembinaan lebih 3,000 unit penempatan baharu di kawasan berkenaan.

Pelan E1, yang dibekukan sejak akhir 1990-an akibat tekanan antarabangsa, kini diaktifkan semula dengan sokongan kerajaan sayap kanan Israel serta pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump. Smotrich mendakwa dia menerima sokongan penuh daripada Netanyahu, Trump dan utusan AS, Mike Huckabee, yang menolak penubuhan negara Palestin atas alasan ia mengancam ‘kewujudan’ Israel.

Pelan berkenaan merangkumi sekitar 12,000 dunum tanah Palestin yang dirampas dari kampung Issawiya, At-Tur, Anata, Al-Eizariya dan Abu Dis. Projek itu bukan sahaja memperluas penempatan haram, malah menutup laluan bersejarah berusia ribuan tahun, termasuk jalan dari Ariha (Jericho) ke Baitul Maqdis yang sarat dengan nilai agama dan budaya.

Aktivis Palestin memberi amaran bahawa pelan ini berpotensi menjadikan Tebing Barat terpecah kepada kawasan-kawasan berasingan seperti Bantustan pada era aparteid Afrika Selatan, dengan bandar utama seperti al-Khalil (Hebron), Baitul Lahm (Bethlehem) dan Ramallah diasingkan menyerupai ‘penjara terbuka’ seperti Gaza.

Tindakan Israel tersebut mencetuskan kecaman antarabangsa apabila 21 negara, termasuk United Kingdom (UK), Perancis, Kanada dan Australia, mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk keras keputusan tersebut sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa. Negara-negara berkenaan turut menuntut agar Tel Aviv segera menarik balik pelan itu kerana ia menggagalkan usaha perdamaian dan mengancam kestabilan serantau.

Walaupun pelan tersebut pernah ditangguhkan pada 2022 akibat tekanan Washington, kerajaan Netanyahu kini mempercepatkan projek perluasan penempatan dengan menutup akses Palestin, memperluas jalan khusus untuk penempatan Yahudi serta mengukuhkan apa yang digelar sebagai rancangan kedaulatan de facto di Tebing Barat.

Lebih 700,000 pendatang Yahudi kini menetap di lebih 300 penempatan haram di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur. Meskipun dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa, Israel terus memperluas penempatan ini sebagai sebahagian daripada projek kolonial jangka panjang.

Sumber: Quds News Network, The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
September 12, 2025