Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Ahad berkata beliau menjangka melancarkan serangan baharu ke atas Gaza dalam tempoh yang agak singkat, ketika Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kembali mendengar desakan supaya penderitaan di wilayah Palestin itu ditamatkan.


Kenyataan itu dibuat selepas kabinet keselamatan Israel pada Jumaat meluluskan rancangan yang dikritik hebat untuk mengambil alih bandar Gaza, Netanyahu mendakwa beliau tiada pilihan selain menyelesaikan tugasan dan mengalahkan HAMAS bagi membebaskan tebusan yang ditawan dari Israel.


Saksi di Gaza melaporkan bandar Gaza, pusat paling padat penduduk di wilayah itu, menjadi sasaran serangan udara Israel yang semakin memuncak pada lewat Ahad. Media Palestin melaporkan sebuah peluru berpandu mengenai khemah yang digunakan wartawan berhampiran hospital, manakala Pengarah Hospital al-Shifa, Muhammad Abu Salamiyah, memberitahu saluran Al Jazeera bahawa tujuh orang terbunuh di situ. Tembakan kereta kebal turut dilaporkan di kawasan berkenaan.


Wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif terbunuh bersama empat rakan sekerjanya dalam serangan terancang rejim Zionis ke atas sebuah khemah yang menempatkan petugas media di Bandar Gaza.


Serangan yang berlaku lewat malam Ahad di luar pintu utama Hospital al-Shifa itu mengorbankan tujuh orang, termasuk wartawan Al Jazeera, Mohammed Qreiqeh, serta jurukamera Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal dan Moamen Aliwa.


Tentera Israel mendakwa ia menyasarkan dan membunuh al-Sharif, yang dituduh sebagai ketua sel HAMAS yang menyamar sebagai wartawan, dan mengatakan tuduhan itu disahkan oleh risikan serta dokumen yang ditemui di Gaza. Bagaimanapun, Pelapor Khas PBB mengenai kebebasan bersuara, Irene Khan, bulan lalu menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.


Pejabat Netanyahu dalam kenyataan lewat Ahad memaklumkan bahawa beliau telah bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenai rancangan Israel untuk menguasai baki kubu HAMAS di Gaza.


Terdahulu, Netanyahu berkata operasi baharu itu bertujuan memusnahkan dua kubu HAMAS yang masih tinggal, yang disifatkannya sebagai satu-satunya pilihan berikutan penolakan HAMAS untuk meletakkan senjata. HAMAS menegaskan ia tidak akan melucutkan senjata selagi sebuah negara Palestin merdeka belum ditubuhkan.


Tidak jelas bila serangan itu  yang menjadi siri terbaru usaha tentera Israel untuk mengusir pejuang Palestin dari bandar Gaza akan bermula.


“Garis masa yang kami tetapkan untuk tindakan ini agak singkat. Kami mahu, pertama sekali, mewujudkan zon selamat supaya penduduk awam di bandar Gaza dapat berpindah keluar,” katanya.


Beliau turut berkata penduduk bandar itu, yang berjumlah kira-kira satu juta orang sebelum perang yang sudah berlarutan dua tahun, akan dipindahkan ke ‘zon selamat’. Namun penduduk Palestin menegaskan zon tersebut sebelum ini tidak pernah melindungi mereka daripada serangan Israel.


Ketua tentera Israel sebelum ini menzahirkan bantahan terhadap rancangan untuk menduduki seluruh Semenanjung Gaza, memberi amaran bahawa pengembangan operasi sedemikian akan membahayakan nyawa tebusan yang masih ditahan Hamas serta mengheret tenteranya ke dalam peperangan gerila yang berpanjangan dan berdarah.


Netanyahu menegaskan matlamatnya bukan untuk menduduki Gaza. “Kami mahu tali pinggang keselamatan di sempadan kami, tetapi kami tidak mahu kekal di Gaza. Itu bukan tujuan kami,” katanya.

Sumber: Reuters

Written by
Admin
Published on
August 11, 2025