Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin malam memberi amaran bahawa Israel akan bertindak balas dengan kekuatan yang tidak terjangkau akal sekiranya Iran melancarkan serangan ke atas negara haram itu.


“Kami telah bersedia untuk sebarang senario,” katanya semasa Majlis Graduasi Kadet Pasukan Penjajah Israel (IOF). “Satu perkara yang pasti, jika rejim Ayatollah membuat kesilapan dan menyerang kami, mereka akan berdepan serangan balas yang tidak dapat mereka bayangkan.” Netanyahu turut menegaskan bahawa Israel sedang beroperasi seiring dengan sekutu utama mereka, Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi ancaman Iran.


Dalam ucapannya di hadapan Knesset,  “Kita sedang melalui hari-hari yang sangat rumit dan sukar sampai ke tahap menjejaskan kehidupan negara. Tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku esok.” Dia turut menambah bahawa Israel sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan, sambil menyeru rakyat untuk bersatu pada saat-saat kritikal ini. Katanya, “Pada hari-hari seperti ini, menjelang Hari Purim, kita harus berdiri sama tinggi. Saya percaya kepada komander, pejuang dan rakyat kita.”


Dalam beberapa minggu kebelakangan ini juga, AS dengan dorongan Israel, dilihat telah memperkukuh kehadiran ketenteraannya di Timur Tengah sekali gus memberi isyarat kemungkinan operasi ketenteraan terhadap Iran bagi memaksa negara itu menghentikan program nuklear dan peluru berpandunya. Perdana Menteri wilayah haram itu turut menambah bahawa perkongsian strategik bersama AS tidak pernah lebih rapat berbanding sekarang.


Pada Isnin petang, media Israel melaporkan pesawat pengisian bahan api AS telah tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv. Selain itu, Majlis Kabinet Kecil Keselamatan Politik Israel mengadakan mesyuarat lebih tiga jam pada Ahad bagi membincangkan kemungkinan perang dengan Iran.


Sebelum ini pada Ahad, Menteri Luar Oman, Badr Al-Busaidi mengumumkan rundingan baharu antara Washington dan Tehran mengenai isu nuklear di Geneva, yang dijadualkan pada Khamis. Oman menjadi tuan rumah bagi rundingan ini selepas pusingan sebelum ini berlangsung di Muscat pada 6 Februari lalu. Israel menilai rundingan yang dijadualkan di Geneva ini sebagai peluang terakhir bagi Iran, menurut laporan eksklusif Saluran 12 Israel.


AS menuntut Iran menghentikan sepenuhnya aktiviti pengayaan uranium dan memindahkan uranium yang telah diperkaya keluar dari negara itu, sambil mengugut tindakan ketenteraan jika tuntutan tersebut tidak dipatuhi. Sebaliknya, Tehran
menegaskan bahawa Washington dan Israel sengaja mencipta alasan untuk campur tangan dan menukar rejim. Iran turut memberi amaran akan membalas sebarang serangan, walaupun berskala kecil, serta menuntut pengurangan sekatan ekonomi sebagai pertukaran kepada had ke atas program nuklearnya. 



Sumber: Shehab News, The Jerusalem Post

Written by
Admin
Published on
February 24, 2026