Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu berdepan laungan anti-kerajaan apabila hadirin dilaporkan menyeru dia meletak jawatan ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis graduasi ketenteraan di selatan wilayah haram itu, menurut laporan Anadolu.

Menurut akhbar Yedioth Ahronoth, laungan tersebut tercetus semasa Netanyahu berucap di majlis graduasi pegawai tempur di pangkalan tentera Bahad 1, iaitu pusat latihan pegawai tentera rejim Israel.

Dalam ucapannya, Netanyahu mendakwa rejimnya itu berada di kemuncak perang serantau yang berterusan. Dia turut mendakwa bahawa rejim Israel telah berjaya mengubah peraturan permainan di rantau ini, memecahkan halangan ketakutan serta membuktikan kekuatan cengkaman besi mereka.

Laungan protes itu berlaku ketika bantahan berterusan di beberapa buah bandar di wilayah haram Israel terhadap kerajaan Netanyahu, dengan penunjuk perasaan menuntut pilihan raya awal serta menyalahkan pentadbirannya atas kegagalan berkaitan peristiwa 7 Oktober 2023 dan kesan perang di Gaza serta rantau sekitarnya.

Sebelum ini, dilaporkan kira-kira 500 warga haram berhimpun di Dataran Habima, Tel Aviv bagi menyatakan bantahan terhadap Netanyahu. Perhimpunan bantahan yang diadakan pada minggu lalu menyaksikan kecaman dilontarkan mengecam kegagalan Netanyahu dalam mencapai matlamat yang didakwa rejim itu dalam perang dengan Iran, serta penolakannya terhadap penubuhan suruhanjaya siasatan negara berhubung serangan HAMAS pada 7  Oktober 2023. 

Dalam ucapannya kepada Netanyahu, usahawan teknologi dan bekas pegawai tentera udara, Kobi Richter berkata, “Kami, para juruterbang telah mencapai kemenangan besar dan menyeluruh di Iran. Anda, yang kononnya pemimpin kuat dunia, telah gagal.”

Turut berucap pada himpunan itu ialah Carmit Palti-Katzir, adik kepada tebusan HAMAS yang terbunuh, Elad, serta anak kepada mangsa 7 Oktober, Rami, dan mendiang tebusan yang baru dibebaskan, Hanna Katzir. Palti-Katzir berkata keluarga mangsa kini terlibat dalam ‘perjuangan demi kebenaran’ mengenai peristiwa tersebut, sambil menuduh Netanyahu cuba move on daripada tragedi itu dengan menolak siasatan bebas serta mengalihkan pandangan daripada ribuan kubur.

Beliau turut mengkritik Netanyahu kerana dia memuji kejayaan dirinya dalam membawa pulang tebusan Israel dari Gaza, sama ada hidup atau mati. “Jangan berbangga kerana kamu membawa mereka pulang,” katanya. “Seharusnya kamu berasa malu kerana mereka diculik.”

Elad Katzir dilaporkan bertahan selama 99 hari dalam tahanan dan terdapat beberapa peluang untuk membebaskannya melalui rundingan, kata Palti-Katzir. “Betapa murahnya nilai nyawa di mata kepimpinan ini?” soalnya, ketika orang ramai bertindak mencemuh kenyataan tersebut.

Sumber: Anadolu Ajansi, The Times of Israel

Written by
Admin
Published on
June 26, 2026