
Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan mengarahkan tentera rejimnya meningkatkan serangan terhadap Hizbullah di Lubnan, sambil menegaskan bahawa operasi ketenteraan terhadap kumpulan itu akan dipertingkat bagi menghancurkannya.
Arahan tersebut diumumkan Netanyahu menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Telegram pada malam Isnin. Dia berkata rejim Israel tidak akan mengurangkan operasi ketenteraan, malah akan meningkatkan lagi intensiti serangan.
“Kami sedang berperang dengan Hizbullah dan akan memperhebat lagi serangan ini,” katanya.Tindakan itu dilihat selari dengan desakan beberapa sekutu sayap kanan dalam kerajaan haram Israel yang mahu operasi ketenteraan di Lubnan diperluaskan.
Arahan terbaharu itu dikeluarkan meskipun gencatan senjata antara rejim Israel dan Lubnan yang dipersetujui bulan lalu baru sahaja dilanjutkan.Tidak lama selepas kenyataan Netanyahu, tentera rejim Israel memaklumkan bahawa mereka telah melancarkan serangan ke atas beberapa buah lokasi yang didakwa sebagai infrastruktur Hizbullah di Lembah Bekaa serta kawasan lain di Lubnan. Menurut tentera rejim, lebih 70 lokasi milik Hizbullah diserang dalam tempoh 24 jam lalu termasuk kira-kira 10 markas dan depot simpanan senjata di kawasan Tyre.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan peningkatan serangan itu turut mencetuskan perpindahan penduduk dari kawasan pinggir selatan Beirut yang menjadi kubu kuat Hizbullah. Serangan udara yang dilancarkan oleh rejim Israel turut dilaporkan menyasarkan daerah Tyre dan Nabatieh di selatan Lubnan. Empat orang terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam serangan di bandar Kfar Reman di daerah Nabatieh.
Beberapa serangan turut mengenai kawasan kejiranan al-Midan di Nabatieh sehingga menyebabkan kerosakan pada bangunan kediaman dan sebuah pusat komuniti Syiah.
Dalam perkembangan berlainan, NNA melaporkan pesawat tempur rejim Israel turut menggugurkan peluru fosforus di kawasan hutan perbandaran Qlailah sehingga mengakibatkan api marak dan kebakaran di ladang sitrus dan kawasan pertanian.
Penggunaan peluru fosforus di kawasan awam sebelum ini menerima kecaman meluas di peringkat antarabangsa kerana bahan itu boleh menyebabkan kecederaan serius dan kebakaran sebaik sahaja terkena oksigen.
Kementerian Kesihatan Lubnan pula memaklumkan bahawa serangan rejim Israel sejak konflik dengan Hizbullah bermula pada 2 Mac lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 3,185 orang dan mencederakan lebih 9,000 yang lain.
Dalam pada itu, dua menteri sayap kanan rejim Israel menggesa kerajaan melancarkan semula perang besar-besaran di Lubnan. Menteri Kewangan wilayah haram Israel, Bezalel Smotrich pula berkata, Israel perlu menamatkan ancaman dron peledak Hizbullah, selain memaklumkan kerajaan haramnya telah meluluskan bajet khas kira-kira dua bilion shekel bagi pembangunan teknologi bagi menangani ancaman dron pihak Hizbullah. Dia turut menyatakan bahawa “Bagi setiap dron peledak, 10 bangunan mesti runtuh di Beirut”.
Menteri Keselamatan Nasional wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir pula menyeru supaya perang berskala besar di Lubnan disambung semula. Dalam kenyataannya di media sosial, dia menggesa bekalan elektrik di Lubnan diputuskan, kawasan Dahiyah ditawan dan operasi perang secara besar-besaran dilancarkan semula.
Sumber: Al Jazeera