Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Jemaah Menteri Luar Mesir dan Qatar telah membincangkan usaha bersama pada Selasa untuk menyambung semula rundingan bagi mencapai satu perjanjian gencatan senjata yang berkekalan di Semenanjung Gaza.


Menurut kenyataan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, bagi membincangkan perkembangan terkini di Gaza.


Kedua-dua Menteri itu meneliti usaha bersama, termasuk penglibatan Amerika Syarikat (AS) untuk menyambung semula gencatan senjata bagi menghentikan pertumpahan darah rakyat Palestin, membebaskan banduan dan tahanan, serta memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza dengan segera dan tanpa halangan.


Pada Ahad, Badr Abdelatty memaklumkan bahawa Kaherah sedang merangka perjanjian baharu melibatkan gencatan senjata selama 60 hari sebagai pertukaran kepada pembebasan beberapa tebusan Israel dan kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza.


Terdahulu, Mesir, Qatar dan AS telah menjadi perantara kepada satu perjanjian gencatan senjata tiga fasa antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, HAMAS pada 19 Januari. Perjanjian itu bertujuan menamatkan jenayah genosid Israel di Gaza. Namun, perjanjian itu telah dikhianati selepas Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac.


Walaupun terdapat desakan antarabangsa agar gencatan senjata segera dilaksanakan, tentera Israel dilaporkan telah membunuh lebih 56,600 rakyat Palestin dalam serangan berdarah yang berterusan sejak Oktober 2023.


Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang di Gaza.


Selain itu, Israel turut berdepan satu kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan ketenteraannya terhadap wilayah Gaza yang dikepung.

Sumber: Anadolu Ajansi, Middle East Monitor

Written by
Admin
Published on
July 2, 2025