
Menteri Luar wilayah haram Israel, Gideon Saar tiba di Somaliland, dua minggu selepas Tel Aviv mengiktiraf wilayah tersebut.
“Pengiktirafan bersama dan penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara ini tidak ditujukan terhadap mana-mana pihak,” kata Saar menerusi platform X.
Tambahnya, Presiden Somaliland, Abdirahman Mohamed Abdilahi telah menerima jemputan daripada Benjamin Netanyahu untuk melawat negara haram Israel dan membuka sebuah kedutaan di negara tersebut.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar wilayah haram Israel memaklumkan bahawa lawatan Saar dibuat atas jemputan Abdilahi untuk mengadakan pertemuan dengan para pegawai di wilayah berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut, Abdilahi menyifatkan lawatan Saar sebagai satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen bersama untuk membangunkan perkongsian strategik yang produktif dan berpandangan ke hadapan.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau akan melawat Israel dalam masa terdekat bagi membuka sebuah kedutaan Somaliland di negara tersebut.
Menurut saluran Israel, i24NEWS, lawatan Saar bertujuan memajukan kerjasama politik dan strategi yang bermakna antara kerajaan haram Israel dan Somaliland.
Pada 26 Disember 2025, Israel mengumumkan pengiktirafan rasminya terhadap Somaliland sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, menjadikan Tel Aviv satu-satunya negara di dunia yang mengiktiraf wilayah yang memisahkan diri itu.
Tindakan Israel tersebut mencetuskan penolakan meluas di peringkat serantau, khususnya daripada negara-negara Arab yang menyifatkannya sebagai tidak sah serta mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Somalia menegaskan semula komitmen tegas dan tidak boleh dikompromi terhadap kedaulatan, perpaduan nasional dan keutuhan wilayahnya, sambil mengisytiharkan penolakan mutlak terhadap tindakan Israel itu.
Sumber: Middle East Monitor, Anadolu Ajansi