Malaysia menyatakan sokongan terhadap inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menamatkan perang di Gaza melalui satu pelan komprehensif sambil menekankan kepentingan pelaksanaannya secara penuh.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar menyebut bahawa pelan tersebut yang dinantikan oleh masyarakat antarabangsa dilihat sebagai langkah penting bagi menghentikan jenayah genosid, kebuluran serta kemusnahan di Gaza.
“Malaysia berharap pelan ini dilaksanakan sebaiknya bagi memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, pengunduran tentera Israel, rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa dapat pulang dan usaha pembinaan semula Gaza dapat dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menegaskan keperluan pelaksanaan selaras dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusi berkaitan di samping menjamin perlindungan rakyat Palestin serta isu keadilan dan akauntabiliti.
“Semua ini adalah asas penting untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan demi keselamatan serta kestabilan rantau berkenaan,” tambah kenyataan itu.
Malaysia juga menyatakan kesediaan bekerjasama dengan AS dan komuniti antarabangsa dalam menyokong usaha damai termasuk memastikan pengintegrasian Gaza dengan Tebing Barat dan merealisasikan penubuhan negara Palestin berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara.
20 Pelan Trump Untuk Gaza – Analisis
Bagaimanapun, ketika pelan ini disambut baik oleh kebanyakan negara, penganalisis berpendapat ia langsung gagal menandakan masa depan yang positif untuk rakyat Palestin.
Menurut peguam Palestin dan penganalisis, Diana Buttu:
“Penamatan genosid ini terikat dengan pendekatan kolonial di mana Israel sebagai pelaku dan AS sebagai pemberi dana; dan mereka menentukan masa depan mangsa genosid, jenayah mereka sendiri… Tidak ada satu pun jaminan yang ditawarkan; semua jaminan diberikan kepada orang Israel.”
Merujuk kembali kepada salah satu intipati pelan untuk Gaza yang dibentangkan oleh Trump, HAMAS perlu ‘melepaskan’ kuasa dan melucutkan senjata mereka jika mahu diberikan pengampunan. Pada masa yang sama, tiada siapa akan dipaksa meninggalkan Gaza; mereka bebas untuk meninggalkan atau pulang ke Gaza.
Trump juga menegaskan bahawa sekiranya cadangan ini tidak diterima HAMAS, Israel memiliki kebebasan dan menerima sokongan penuh AS dalam mengambil sebarang tindakan yang difikirkan sesuai di Gaza.
HAMAS diberi tempoh tiga hingga empat hari untuk respons cadangan Trump.
Sumber: Bernama, Berita Harian, Al Jazeera, Reuters