Penduduk Gaza sekali lagi berdepan malam penuh kehancuran apabila serangan udara Israel terus menggempur bandar itu tanpa henti, meskipun rundingan gencatan senjata sedang berlangsung dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengarahkan supaya pengeboman dihentikan.
Serangan udara dilaporkan menyasarkan beberapa bangunan kediaman di kawasan Tal al-Hawa, kem pelarian Shati, serta kejiranan Nassr dan Jala’a.
Pasukan pertahanan awam masih bertungkus-lumus mengeluarkan mayat mangsa daripada runtuhan serangan sebelum ini dengan bekalan bahan api yang semakin berkurangan dan peralatan penyelamat yang serba kekurangan.
Menurut sumber perubatan, sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin terbunuh pada Ahad akibat serangan udara Israel, termasuk empat individu yang ditembak mati berhampiran pusat agihan bantuan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di utara Rafah.
Serangan itu berlaku ketika Israel dan HAMAS bersiap sedia untuk rundingan tidak langsung di Mesir, di tengah harapan untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan genosid di Gaza berdasarkan pelan gencatan 20 perkara yang dikemukakan oleh Trump.
Selepas HAMAS memberi respons positif terhadap pelan itu, Trump menegaskan bahawa Israel mesti segera menghentikan pengeboman di Gaza bagi membolehkan pembebasan tahanan dilaksanakan.
Beberapa pemimpin dunia turut menyambut baik pendirian HAMAS itu dan menggesa Israel menghentikan pembunuhan beramai-ramai serta-merta.
Pada Sabtu lalu, Trump menyatakan penghargaan terhadap penghentian sementara pengeboman oleh Israel bagi memberi ruang kepada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
Namun, rejim Israel terus membedil Gaza tanpa henti, walaupun jenayah genosid ini kini memasuki tahun kedua.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, lebih 2,700 keluarga melibatkan lebih 8,500 individu terhapus sepenuhnya daripada daftar penduduk. Antara mangsa dikenal pasti ialah 1,015 bayi berusia bawah setahun, 1,670 petugas kesihatan, 254 wartawan dan 140 anggota penyelamat pertahanan awam.
Kenyataan itu menegaskan bahawa penghapusan besar-besaran terhadap rakyat Palestin ini berlangsung di mata dunia, sementara pihak antarabangsa terus gagal menghentikan jenayah perang yang sedang berlaku.
Sumber: Quds News Network