Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Sebuah mahkamah Zionis pada Selasa melanjutkan penahanan pengarah Hospital Kamal Adwan di semenanjung Gaza, Dr. Hussam Abu Safiya tanpa sebarang pertuduhan dikenakan. Beliau dikhabarkan berada dalam keadaan yang teruk dan tidak diberikan rawatan perubatan yang sepatutnya.

Dr. Hussam telah ditahan pada 27 Disember 2024 apabila tentera Zionis menyerbu Hospital Kamal Adwan yang terletak di bandar Beit Lahia, utara Gaza. Beliau ditahan dengan senjata diacukan kearahnya selepas hospital itu dimusnahkan dan tidak lagi beroperasi.

“Mahkamah Daerah Beersheba pada pagi Selasa meluluskan lanjutan penahanan Dr. Hussam Abu Safiya di bawah Undang-Undang Pejuang Tidak Sah tanpa memfailkan sebarang pertuduhan. Mahkamah juga menolak permohonan pihak pembelaan untuk pembebasan segera,” kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Physicians for Human Rights Israel dalam satu kenyataan.

Undang-undang tersebut membenarkan pihak penjajah menahan rakyat Palestin dari Gaza untuk tempoh yang panjang tanpa perbicaraan.Walaupun mahkamah Beersheba sebelum ini melanjutkan penahanannya selama enam bulan pada Oktober 2025, NGO itu menyatakan bahawa pihak berkuasa memberi isyarat bahawa lanjutan terkini adalah tanpa had.

“Mahkamah mengekalkan penahanan walaupun terdapat hujah bahawa menahan seorang doktor ketika menjalankan tugas perubatannya merupakan penahanan yang tidak sah,” katanya.

“Dr. Abu Safiya kini ditahan di Penjara Negev dalam keadaan yang teruk tanpa akses kepada ubat-ubatan mahupun menerima rawatan perubatan, walaupun keadaan kesihatannya semakin merosot,” NGO itu memberi amaran.

Pihak Zionis terus menahan Dr. Hussam walaupun beliau berulang kali menafikan terlibat dalam sebarang aktiviti selain bertugas sebagai doktor. Zionis telah mengabaikan seruan daripada kebanyakan organisasi hak asasi Israel, Palestin dan antarabangsa yang menuntut pembebasan segera beliau.

“Dr. Abu Safiya bekerja mengendalikan hospital tanpa henti, memberikan rawatan penting kepada kanak-kanak dan menjadi saksi kepada keruntuhan sistem kesihatan Gaza akibat genosid oleh Zionis.

Beliau meneruskan tugasnya walaupun selepas kematian tragis anaknya sendiri akibat serangan udara Zionis. Seperti ramai petugas kesihatan lain sebelumnya, beliau ditahan ketika merawat pesakit dan menjalankan tugas perubatannya,” menurut laporan Amnesty International sebelum ini.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
April 29, 2026