Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Jurucakap tentera Israel sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya merancang melancarkan serangan udara ke atas apa yang didakwanya sebagai infrastruktur ketenteraan milik Hizbullah dan HAMAS di Kampung Hammara serta Ain el-Tineh di Lembah Bekaa, timur Lubnan, selain Kfar Hatta dan Annan di selatan negara itu.


Seorang jurugambar agensi Agence France-Presse (AFP) di Kfar Hatta menyaksikan puluhan keluarga meninggalkan kampung tersebut selepas amaran Israel dikeluarkan, dengan aktiviti dron berlegar di ruang udara dilaporkan di kawasan berkenaan. Pasukan ambulans dan bomba turut diletakkan dalam keadaan siap siaga.


Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan bahawa satu serangan dron ke atas sebuah kereta di Kampung Braiqaa, selatan Lubnan, pada awal Isnin semalam telah mencederakan dua individu. Bagaimanapun, tentera rejim mendakwa serangan itu menyasarkan dua anggota Hizbullah.


Serangan terbaharu ini menyusul selepas serangan maut rejim Israel pada Ahad lalu ke atas sebuah kenderaan di kawasan Ayn al-Mizrab, utara Bandar Bint Jbeil di selatan Lubnan, yang mengorbankan dua individu. Tentera rejim mendakwa serangan tersebut yang berlaku kira-kira 10 kilometer dari sempadan, turut menyasarkan seorang anggota Hizbullah.


Rejim Israel terus melancarkan serangan meskipun gencatan senjata yang dirundingkan oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2024 sebelum ini telah menamatkan lebih setahun pertempuran sengit antara tenteranya dan kumpulan Hizbullah.


Walau bagaimanapun, tentera rejim Israel dilaporkan berulang kali melanggar gencatan senjata tersebut melalui pengeboman dan masih menduduki lima kawasan di Lubnan.


Penganalisis hal ehwal keselamatan yang berpangkalan di Beirut, Ali Rizk memaklumkan bahawa serangan terbaharu rejim Israel bukanlah sesuatu yang mengejutkan, khususnya susulan pertemuan minggu lalu antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu.


“Ada laporan mengatakan bahawa rejim Israel telah mendapat lampu hijau untuk meningkatkan serangan terhadap Hizbullah,” lapor Rizk kepada Al Jazeera.


Beliau menambah, dakwaan Israel menyasarkan HAMAS turut meningkatkan tekanan ke atas Lubnan, menarik perhatian bukan sahaja Hizbullah, tetapi juga mana-mana kumpulan anti-Israel lain di wilayah itu.


Kerajaan Lubnan dijangka mengadakan mesyuarat pada Selasa bagi membincangkan pelan ketenteraan untuk melucutkan senjata Hizbullah, yang masih kekal berpengaruh walaupun mengalami kerugian besar akibat serangan rejim Israel, termasuk pembunuhan pemimpin lamanya, Hassan Nasrallah, pada September 2024.


Sebuah jawatankuasa pemantau gencatan senjata yang merangkumi pasukan pengaman dari Lubnan, Israel, Perancis, AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dijadualkan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.


Memetik sumber pimpinan dalam HAMAS menegaskan bahawa pihak rejim Israel sengaja mencipta alasan palsu bagi menghalalkan pencerobohan berterusan menyasarkan YANG rakyat Palestin di Gaza dan Lubnan.


Dalam kenyataannya kepada Al Jazeera, sumber itu menjelaskan bahawa dakwaan Israel berhubung kewujudan struktur ketenteraan kumpulan HAMAS di Lubnan hanyalah helah rapuh untuk membenarkan serangan agresifnya. Beliau turut menggesa negara-negara penjamin perjanjian gencatan senjata di Gaza agar memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan dan pelanggaran yang terus dilakukan oleh pihak rejim.



Sumber: Al Jazeera, Shehab News

Written by
Admin
Published on
January 6, 2026