Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kira-kira lebih 16,500 rakyat Palestin yang memerlukan rawatan perubatan di luar semenanjung Gaza dilaporkan masih tidak dapat meninggalkan wilayah itu susulan sekatan berterusan yang dikenakan oleh rejim Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.


Dalam satu kenyataan pada Selasa, kementerian itu memaklumkan bahawa ribuan pesakit, termasuk mereka yang memerlukan rawatan khusus dan pembedahan kritikal terus berdepan risiko kematian akibat kelewatan mendapatkan rawatan di luar Gaza. Menurut kementerian berkenaan, sekatan yang dikenakan terhadap pergerakan pesakit telah memburukkan lagi krisis sistem kesihatan Gaza yang telah musnah teruk akibat perang berpanjangan dan serangan berterusan rejim Israel.


Pemangku Timbalan Menteri Kesihatan Gaza, Maher Shamia berkata pihak berkuasa rejim Israel masih mengehadkan pergerakan keluar masuk penduduk Gaza, termasuk pesakit yang memerlukan rawatan segera. Beliau menjelaskan bahawa lintasan sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir hanya dibuka untuk pergerakan keluar pada tiga hari setiap minggu, manakala pemindahan pesakit melalui lintasan sempadan Karem Abu Salem pula hanya dibenarkan sehari seminggu.


“Pihak pendudukan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas krisis ini susulan penutupan berterusan lintasan sempadan Rafah yang merupakan laluan utama pesakit mendapatkan rawatan di luar Gaza,” katanya.


Shamia turut menggesa badan-badan hak asasi manusia dan organisasi antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap rejim Israel supaya membenarkan pesakit Palestin mendapatkan akses kepada rawatan perubatan tanpa halangan. Menurut beliau, sebahagian besar pesakit sebenarnya boleh dirawat di Gaza sekiranya sistem kesihatan yang musnah akibat perang dipulihkan dan dibangunkan semula.


Krisis kesihatan itu berlaku ketika Gaza terus berdepan situasi kemanusiaan yang semakin meruncing, dengan majoriti penduduk masih hidup dalam keadaan serba kekurangan dan bergantung kepada bantuan luar demi kelangsungan hidup.


Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa rejim Israel membuka semula semua pintu sempadan ke Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sekatan. Beliau menegaskan bahawa keperluan kemanusiaan di Gaza kekal pada tahap kritikal dan akses kepada bantuan perlu dipastikan secara konsisten, berterusan serta tanpa sebarang halangan.


Pada April lalu, PBB dan Kesatuan Eropah (EU) menganggarkan lebih AS$71 bilion diperlukan bagi usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza, dengan sektor kesihatan antara yang paling terjejas akibat kemusnahan yang berlaku sejak perang tercetus pada Oktober 2023.


Menurut kedua-dua badan itu, lebih AS$26 bilion diperlukan dalam tempoh 18 bulan pertama untuk memulihkan perkhidmatan asas, membina semula infrastruktur kritikal dan menyokong pemulihan ekonomi wilayah tersebut.


Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
June 10, 2026