Beberapa hospital di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 106 rakyat Palestin terbunuh sejak subuh, ketika Israel menggandakan serangan ke atas bandar Gaza melalui serbuan, pengeboman dan pencerobohan darat.
Tentera Israel memusnahkan beberapa bangunan awam dan kemudahan penting, mengakibatkan jumlah korban dan kecederaan yang tinggi, manakala ramai lagi dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan.
Pertahanan Awam Gaza memaklumkan masih ramai orang awam hilang di bawah runtuhan rumah yang dibom pesawat Israel tanpa sebarang amaran awal. Kekurangan sumber, peralatan dan jentera berat menyukarkan usaha menyelamat.
Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir, berkata:
“Kami telah mula memperluas operasi ke dalam bandar Gaza, yang dianggap kawasan utama bagi HAMAS,”
dakwanya.
Anadolu Ajansi melaporkan tentera Israel memusnahkan bangunan bertingkat “Tawfiq” di kawasan padat Al-Nasr, barat Bandar Gaza. Serangan itu mencetuskan panik meluas dalam kalangan penduduk dan memaksa puluhan keluarga meninggalkan kediaman mereka.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, tentera Israel telah memusnahkan sepenuhnya atau merosakkan lebih 3,600 bangunan dan menara di bandar Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini, serta merobohkan kira-kira 13,000 khemah penempatan sementara.
Sejak malam tadi, tentera Israel meningkatkan lagi serangan udara dan tembakan hidup ke atas kawasan utara dan barat bandar Gaza, bertujuan menimbulkan panik dan memaksa penduduk melarikan diri.
Seorang pegawai tentera Israel sebelum ini mengumumkan pelancaran fasa baharu pencerobohan bandar Gaza, yang digambarkan sebagai pencerobohan secara berperingkat. Bandar itu dihuni sekitar satu juta rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam pelarian.
Namun, walaupun berdepan pengeboman hebat, majoriti penduduk Gaza enggan berpindah ke selatan kerana ketiadaan keperluan asas. Malah, ramai yang pernah berpindah sebelum ini turut kembali semula ke bandar Gaza.
Menurut Pejabat Kerajaan Gaza, Israel telah mengepung lebih 800,000 rakyat Palestin di kawasan Mawasi, Rafah dan Khan Yunis, tanpa sebarang sumber untuk kelangsungan hidup.
Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Bandar Gaza bakal membawa bencana kepada orang awam. Mereka menggesa semua negara anggota PBB bertindak segera bagi menghentikan genosid dan kebuluran yang semakin kritikal.
Sumber: The Palestine Chronicle