
Sebuah laporan siasatan oleh akhbar Belanda, De Volkskrant yang mendokumentasikan kes tembakan terhadap kanak-kanak di Gaza telah memenangi Anugerah Akhbar Eropah 2026 (European Press Prize 2026) yang merupakan salah satu pengiktirafan kewartawanan paling berprestij di Eropah.
Laporan bertajuk What the Wounds Tell itu dihasilkan oleh wartawan Maud Effting dan Willem Feenstra, yang sebelum ini menyiasat 114 kes melibatkan kanak-kanak Palestin berusia bawah 15 tahun yang ditembak dengan sekali tembakan pada bahagian kepala atau dada. Kebanyakan mangsa dilaporkan terkorban, manakala selebihnya mengalami kecederaan parah dan kecacatan kekal.
Dalam kenyataannya, pihak penganjur memuji laporan tersebut sebagai hasil kewartawanan yang luar biasa kerana berjaya dijalankan dalam keadaan akses bebas ke Gaza yang amat terhad. Siasatan itu dibina berdasarkan keterangan dan rekod perubatan yang dikumpulkan daripada petugas kesihatan antarabangsa yang pernah berkhidmat di hospital dan klinik di Gaza.
Bagi menjalankan siasatan tersebut, De Volkskrant telah menemubual 17 orang doktor dan seorang jururawat dari Amerika Syarikat (AS), Britain, Australia, Kanada dan Belanda yang pernah bertugas di beberapa kemudahan kesihatan di Gaza sejak Oktober 2023.
Seramai 15 daripada mereka mengesahkan pernah merawat sekurang-kurangnya 114 kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah yang mengalami satu kesan tembakan pada bahagian kepala atau dada. Kes-kes tersebut direkodkan di 10 hospital dan klinik antara penghujung tahun 2023 hingga pertengahan 2025.
Menurut laporan yang sama, para wartawan memilih untuk memberi tumpuan kepada kanak-kanak kerana identiti mereka sebagai orang awam tidak boleh dipertikaikan. Mereka menyifatkan corak kecederaan yang berulang pada bahagian kepala dan dada sebagai petunjuk yang membangkitkan persoalan serius mengenai punca tembakan tersebut.
Salah seorang doktor yang ditemubual, pakar bedah trauma dari AS, Feroze Sidhwa menceritakan bahawa dalam tempoh 48 jam pertama bertugas di European Hospital Gaza pada Mac 2024, beliau menerima empat kanak-kanak lelaki berusia bawah 10 tahun dengan kecederaan tembakan yang hampir sama pada bahagian kepala. Sepanjang 13 hari berikutnya, beliau menemui sembilan lagi kes yang menunjukkan corak kecederaan serupa.
Pakar-pakar perubatan yang ditemubual menegaskan bahawa kecederaan sedemikian sukar dianggap sebagai kemalangan. Beberapa pakar forensik yang dirujuk oleh akhbar berkenaan turut menyatakan bahawa keseragaman corak kecederaan itu menunjukkan kemungkinan tembakan dilakukan secara tepat ke arah sasaran, termasuk berpotensi melibatkan penembak tepat atau dron.
Anugerah Akhbar Eropah merupakan antara penghormatan tertinggi dalam dunia kewartawanan Eropah yang mengiktiraf karya pelaporan dan penyiasatan cemerlang dari seluruh benua tersebut.
Sumber: Anadolu Ajansi