Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid, pada Ahad menyeru agar dana kerajaan dan pasport tidak diberikan kepada golongan Yahudi Ultra-Ortodoks yang enggan menjalani perkhidmatan tentera, menurut laporan agensi berita Anadolu.
“Pengambilan golongan Haredi adalah soal nilai, dan mereka mesti turut serta,” kata Lapid kepada stesen radio tentera Israel.
“Jika mereka tidak sertai, mereka tidak patut menerima bajet, tidak patut mendapat pasport dan tidak dibenarkan pergi ke Uman (Ukraine).”
Setiap tahun, ribuan golongan Yahudi Ultra-Ortodoks pergi ke bandar Uman di Ukraine untuk menyambut Tahun Baru Yahudi.
Isu pengambilan Haredi kekal kontroversi kerana Yahudi Ultra-Ortodoks menentang perkhidmatan tentera wajib, meskipun Mahkamah Agung Israel pada Jun 2023 mengarahkan mereka wajib menyertai tentera seperti warganegara Israel yang lain.
Pada hari Jumaat, Tel Aviv mengumumkan bahawa tujuh ribu golongan Yahudi Ultra-Ortodoks akan dimasukkan secara beransur-ansur ke dalam tentera, bermula hujung minggu ini.
Komuniti Haredi yang merangkumi sekitar 13% daripada sepuluh juta penduduk Israel sejak dahulu mengelak daripada menyertai perkhidmatan tentera kerana mereka menumpukan hidup mereka kepada pengajian kitab suci Yahudi, Torah.
Pada 15 November lalu, Yair Lapid menyambut baik keputusan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz yang meluluskan penghantaran tujuh ribu perintah wajib tentera kepada golongan lelaki Ultra-Ortodoks yang layak.
“Saya telah katakan di Knesset bahawa jika anda menghantar 7,000 perintah wajib tentera kepada golongan Haredi, tentera dan pasukan simpanan akan tahu bahawa anda berdiri bersama mereka,” tulis Lapid di platform X.
“Anda melakukannya tanpa ragu-ragu.”
Sumber: Middle East Monitor, The Times of Israel, Anadolu Agency