
Sekurang-kurangnya 21 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak meninggal dunia akibat kesejukan melampau di kem-kem penempatan sementara di Gaza.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan bahawa kematian tersebut melibatkan keluarga yang berlindung di tempat perlindungan sementara yang tidak menyediakan perlindungan mencukupi daripada cuaca sejuk melampau. Pejabat itu turut memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan di wilayah berkenaan semakin meruncing apabila musim sejuk terus melanda Gaza.
Bayi dan kanak-kanak terpaksa tinggal di khemah tanpa kemudahan pemanasan dan penebat yang mencukupi. Mereka juga berdepan kekurangan bekalan asas musim sejuk.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas kematian seorang bayi berusia seminggu, Mahmoud al-Aqraa, yang meninggal dunia akibat hipotermia disebabkan kesejukan melampau.
Sekatan berterusan oleh pihak Zionis serta pemindahan paksa lebih 1.5 juta rakyat Palestin turut menyumbang kepada krisis ini.
Pegawai meteorologi Palestin berkata satu sistem tekanan rendah baharu mula melanda Gaza pada Jumaat mengakibatkan hujan lebat, angin kencang dan penurunan suhu mendadak dengan kelajuan angin mencecah sehingga 60 kilometer sejam di beberapa kawasan.
Pihak pertahanan awam Gaza memaklumkan bahawa ribut tersebut telah merosakkan ribuan khemah sementara, sambil menambah bahawa puluhan bangunan yang telah pun goyah akibat pengeboman Zionis sebelum ini runtuh, menyebabkan lebih banyak terkorban.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, walaupun gencatan senjata telah bermula pada 10 Oktober lalu, namun tentera Zionis terus melancarkan serangan, membunuh 442 rakyat Palestin dan mencederakan 1,236 yang lain.
Sumber: Anadolu Ajansi, Pejabat Media Kerajaan Gaza