Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Program Makanan Sedunia (WFP) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang melepaskan tembakan ke arah rakyat Gaza yang kebuluran berhampiran konvoi bantuan kemanusiaan di utara Gaza pada 20 Julai lalu. Serangan itu menyebabkan ramai orang awam terbunuh dan cedera parah.


Menurut WFP, konvoi yang terdiri daripada 25 buah trak telah memasuki Gaza melalui lintasan sempadan Zikim, membawa bantuan makanan penting untuk rakyat yang terperangkap di bahagian utara. Konvoi tersebut telah melepasi semua sekatan tentera Israel dan menerima jaminan keselamatan laluan daripada pihak rejim.


Konvoi bantuan berkenaan, yang membawa bekalan makanan ke kawasan paling terjejas, dilaporkan disambut oleh ratusan penduduk sebaik sahaja memasuki wilayah Gaza. Namun, ketika trak bantuan menghampiri lokasi agihan, tentera rejim Israel dilaporkan melepaskan tembakan ke arah orang ramai menggunakan kereta kebal dan penembak tepat.


“Orang ramai berbaris untuk makanan, bukan ancaman. Tembakan ke arah misi bantuan dan pengagihan makanan mesti dihentikan serta-merta.” tegas WFP dalam kenyataan rasmi sambil menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.


Agensi itu turut menekankan bahawa operasinya dijalankan secara neutral dan bebas, sejajar dengan prinsip kemanusiaan antarabangsa. “Kami tidak boleh meneruskan kerja menyelamat nyawa jika kakitangan dan penerima bantuan kami menjadi sasaran tembakan,” kata WFP.


Krisis kebuluran di Gaza kini menghampiri tahap kritikal, dengan satu daripada tiga penduduk tidak makan selama beberapa hari. Harga satu kilogram tepung kini melebihi $100. Bukan sahaja itu, kadar malnutrisi turut meningkat secara mendadak, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan wanita hamil. 


Dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja, sekurang-kurangnya 19 orang awam,  kebanyakannya kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran.


WFP menegaskan bahawa hanya pengagihan bantuan makanan secara besar-besaran mampu mengelakkan kebuluran besar-besaran ini daripada terus berlaku.


Agensi itu sekali lagi menggesa pihak yang terlibat agar melaksanakan gencatan senjata dan membenarkan penghantaran bantuan makanan secara selamat, tetap dan tanpa halangan ke seluruh Gaza.


“Kami sudah bersedia. Makanan ada berhampiran, pasukan kami berpengalaman dan sentiasa berada di lapangan. Tetapi kami perlukan akses,” tegas WFP, sambil merayu masyarakat antarabangsa bertindak segera bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada rakyat Gaza yang sedang kebuluran.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 21, 2025