
Komander Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Ismail Qaani memberi amaran bahawa serangan Zionis yang berterusan ke atas semenanjung Gaza dan Lubnan akan memberi kesan langsung kepada keselamatan pelayaran maritim antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa serangan-serangan itu akan menjadikan pelayaran di Selat Bab al-Mandab menyerupai keadaan di Selat Hormuz.Ancaman itu hadir serentak dengan pengumuman rasmi Iran untuk menghentikan laluan rundingan politik. Agensi berita Iran, Tasnim mendedahkan bahawa pasukan rundingan Iran memutuskan untuk menghentikan sementara rundingan dan pertukaran dokumen dengan Amerika Syarikat (AS) menerusi saluran pengantara.
Keputusan itu dibuat susulan jenayah berterusan yang dilakukan oleh rejim penjajah dan pelanggaran perjanjian gencatan senjata di semua medan, termasuk Lubnan yang merupakan sebahagian penting daripada syarat awal untuk meneruskan rundingan tersebut.
Agensi itu menegaskan bahawa para pegawai dan perunding Iran tetap berkeras menuntut penamatan segera operasi agresif dan kejam tentera penjajah di Gaza dan Lubnan, selain menuntut pengunduran penuh tentera Zionis dari kawasan Lubnan yang diduduki.
Menurut agensi itu lagi, tidak akan ada sebarang rundingan pada masa akan datang selagi pandangan Iran dan pihak penentangan dalam perkara ini tidak dipenuhi.
Dalam perkembangan ketenteraan dan politik yang saling meningkat, Markaz Khatam al-Anbiya di Iran mengeluarkan amaran keras kepada penduduk penempatan di utara wilayah Palestin yang dijajah agar segera berpindah sekiranya Zionis menyerang Dahiyeh, selatan Beirut.
Amaran itu dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap kenyataan bersama Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Israel Katz yang mengeluarkan arahan langsung kepada tentera untuk melancarkan serangan ke atas lokasi-lokasi di Dahiyeh, selatan Beirut. Langkah itu disifatkan sebagai satu lagi pelanggaran baharu dan jelas terhadap perjanjian gencatan senjata.
Sementara itu, fraksi-fraksi pejuang Palestin mengeluarkan kenyataan media yang menghargai pendirian berprinsip Republik Islam Iran yang membekukan rundingan gencatan senjata dengan musuh Zionis-Amerika.Mereka turut memuji ketegasan Iran dalam mempertahankan syarat penamatan perang dan serangan di semua medan dan kawasan, termasuk Lubnan dan Gaza.
Dalam kenyataan itu, mereka berkata: “Kami menyeru seluruh golongan merdeka dalam umat ini agar bangkit secara menyeluruh bagi membela rakyat Palestin dan Lubnan. Mereka kini berdepan pembunuhan beramai-ramai serta serangan berterusan yang menyasarkan manusia dan kemudahan awam. Menurut kami, semua itu dilakukan demi merealisasikan rancangan Zionis-Talmudik dan projek jenayah yang dinamakan ‘Israel Raya’.”
Sumber: Shehab Agency