Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kolonel simpanan rejim Israel, Amir Novi menegaskan bahawa rejim Zionis perlu menyusun semula visi sosialnya serta meneliti punca kegagalan dalaman yang semakin ketara. Beliau berkata, insiden peguam tentera yang membocorkan rakaman penyeksaan tahanan Palestin bukan lagi sekadar isu keselamatan, sebaliknya mencerminkan krisis sosial serius yang melanda masyarakat di wilayah haram itu.


Terbaharu, pihak rejim Israel telah menahan bekas peguam tentera, Yifat Tomer-Yerushalmi, kerana menyebarkan video yang memaparkan askarnya sedang menyeksa seorang tahanan Palestin di kem tentera terkenal Sde Teiman tahun lalu.


Menurut Saluran 14 Israel, Novi memaklumkan bahawa kes ini nyatanya telah merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap negara dan institusi wilayah haram tersebut, sekaligus melemahkan sistem keselamatan.


Beliau menegaskan bahawa rejim Israel perlu segera menyiasat kegagalan yang berlaku selepas insiden 7 Oktober 2023, sambil mencadangkan penubuhan jawatankuasa profesional bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan tersebut. Novi menambah bahawa siri kejadian dan kontroversi yang berlaku selepas itu — termasuk kegagalan pada 7 Oktober, kebocoran maklumat keselamatan sensitif, serta perpecahan antara pihak tentera dan politik — menjadi isyarat jelas bahawa rejim Israel kini berdepan krisis yang mendalam.


Selain itu, beliau turut menekankan wujudnya krisis kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, antara tentera dan masyarakat, serta antara generasi muda dan warga tua. 


Novi menegaskan bahawa cabaran terbesar rejim Israel pada masa ini ialah memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap institusi negara. Katanya, rejim kini hanya mempunyai dua pilihan — sama ada terus terperangkap dalam kekecohan dan budaya saling menuding jari, atau menjadikan krisis ini sebagai peluang untuk memperbetulkan hala tuju wilayah haram tersebut.



Sumber: Shehab News Agency, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
November 4, 2025