
Parlimen wilayah haram Israel, Knesset telah meluluskan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) yang membenarkan hukuman mati ke atas tahanan Palestin.
RUU yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Keselamatan Parlimen pada 3 November lalu dan kini dibawa ke Knesset penuh untuk bacaan pertama, telah menarik kecaman meluas daripada kumpulan hak asasi manusia dan pemerhati antarabangsa.
Semasa sesi bacaan RUU itu berlangsung, berlaku pertengkaran sengit antara Ahli Parlimen Arab, Ayman Odeh dan Menteri Keselamatan Negara haram dari sayap kanan, Itamar Ben-Gvir yang hampir bertukar menjadi perselisihan melibatkan fizikal.
Menurut Saluran 15 Israel, parti ultra-Ortodoks, United Torah Judaism, dijangka mengundi menentang RUU berkenaan. Saluran itu melaporkan bahawa Rabbi Dov Landau, tokoh terkemuka dalam fraksi Degel HaTorah — yang bersama Agudat Yisrael membentuk United Torah Judaism — telah mengarahkan ahli parlimen partinya menolak cadangan undang-undang tersebut.
Dilaporkan bahawa Landau berhujah bahawa kelulusan RUU sedemikian boleh mencetuskan pertumpahan darah yang lebih besar.
Kerajaan haram pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini kehilangan majoriti di Parlimen selepas United Torah Judaism dan parti Shas menarik diri daripada gabungan berkuasa susulan pertikaian berkaitan isu perkhidmatan ketenteraan. Namun begitu, kedua-dua parti itu tidak semestinya menentang semua RUU yang disokong kerajaan, sementara pendirian Shas terhadap RUU hukuman mati masih belum dipastikan.
Minggu lalu, Jawatankuasa Keselamatan Negara haram, Knesset meluluskan untuk memajukan RUU itu, yang masih memerlukan bacaan kedua dan ketiga sebelum boleh dikuatkuasakan menjadi undang-undang.
RUU ini dicadangkan oleh parti Otzma Yehudit (Jewish Power) pimpinan Itamar Ben-Gvir dan sebelum dibentangkan untuk pengundian, ia telah dirujuk kepada jawatankuasa Knesset bagi persediaan menjelang bacaan kedua dan ketiga, yang diperlukan untuk kelulusan muktamad.
Draf undang-undang itu menetapkan bahawa mana-mana individu yang dengan sengaja atau kerana cuai menyebabkan kematian warganegara Israel, yang didorong atas dasar perkauman, kebencian atau bertujuan mencederakan warga Israel akan menghadapi hukuman mati. Draf itu turut mengharamkan sebarang pengurangan hukuman selepas ianya dijatuhkan.
Itamar Ben-Gvir meraikan pengundian tersebut di platform X:
"Jewish Power sedang mencipta sejarah. Kami berjanji dan kami tunaikan. RUU hukuman mati bagi pengganas telah diluluskan bacaan pertamanya."
Menurut pertubuhan hak asasi manusia Palestin, Addameer, rejim Israel kini menahan kira-kira 9,250 tahanan Palestin, termasuk 3,368 tahanan pentadbiran yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan. Populasi tahanan itu juga termasuk kira-kira 350 kanak-kanak dan 49 wanita.
Sumber: Anadolu, Al Jazeera, The Palestine Chronicle