Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Ketua pembangkang Israel, Avigdor Lieberman pada Khamis memberi amaran bahawa Benjamin Netanyahu mungkin mengambil tindakan ketenteraan untuk tujuan pilihan raya, susulan laporan mengenai kemungkinan pembubaran Knesset.

Dalam satu kenyataan semasa lawatannya ke penempatan Be’eri berhampiran Gaza, Lieberman, yang juga bekas Menteri Pertahanan Israel berkata dia tidak menentang sebarang tindakan ketenteraan jika perlu.

Namun, dia memberi amaran bahawa Netanyahu mungkin mengambil tindakan ketenteraan bukan sahaja untuk mencapai kemenangan, tetapi semata-mata bagi memenuhi tujuan pilihan raya.
“Ini melibatkan tentera kita. Jika tindakan ketenteraan diambil, ia sepatutnya hanya bertujuan untuk membuat keputusan yang muktamad. Tidak boleh diterima jika tindakan ketenteraan digunakan demi kepentingan pilihan raya ,” kata Lieberman, ketua parti Yisrael Beytenu tanpa menyatakan bentuk atau lokasi tindakan ketenteraan tersebut.

Amaran itu dibuat selepas Netanyahu berulang kali mengancam untuk mengubah wajah Asia Barat dan menjadikan negara haram Israel sebagai sebuah kuasa besar serantau.
Gabungan pemerintah kerajaan itu pada petang Rabu telah mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) untuk membubarkan Knesset susulan krisis pengerahan golongan Haredi ke dalam tentera, dalam satu langkah yang dilihat sebagai usaha untuk menggagalkan langkah serupa daripada pihak pembangkang.

Pilihan raya umum dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober.
Menurut The Jerusalem Post, terdapat krisis terbaharu dalam gabungan kerajaan Netanyahu berhubung RUU pengerahan golongan Haredi, iaitu Yahudi ultra-Ortodoks ke dalam tentera yang menyebabkan kedua-dua pihak pembangkang dan gabungan kerajaan mengemukakan RUU untuk membubarkan Knesset.

Kelulusan RUU itu boleh mempercepatkan pilihan raya kepada bulan September atau pertengahan Oktober, berbanding tarikh yang dijadualkan ketika ini iaitu 27 Oktober. RUU tersebut dijangka dibawa untuk undian pada minggu hadapan.

Sumber: Anadolu Ajansi, The Jerusalem Post 

Written by
Admin
Published on
May 15, 2026