
Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu membatalkan keterangan dalam perbicaraan kes rasuah sejam sebelum prosiding dijadualkan bermula pada Isnin, menurut laporan media Israel.
Pembatalan itu dibuat atas alasan ‘keselamatan’ yang tidak diperincikan atas permintaan peguamnya, Amit Hadad, lapor akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth.
Perbicaraan pada Isnin itu dijadualkan selepas tertangguh agak lama berikutan perang dengan Iran.
Netanyahu berdepan pertuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah dalam tiga kes yang dikenali sebagai Kes 1000, 2000, dan 4000.
Pendakwa raya memfailkan pertuduhan tersebut pada November 2019.Kes 4000 melibatkan dakwaan bahawa Netanyahu telah mempengaruhi keputusan kawal selia yang memberi manfaat kepada Shaul Elovitch, bekas pemilik laman berita Walla dan bekas eksekutif syarikat telekomunikasi Bezeq, sebagai balasan untuk liputan media yang positif.
Selain perbicaraan rasuah itu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengeluarkan waran tangkap pada November 2024 terhadap Netanyahu atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di semenanjung Gaza.
Sumber: Anadolu Ajansi