
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Munir al-Bursh mengesahkan bahawa Hospital Nasser di Khan Yunis semalam menerima 45 jenazah baharu, menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima kementerian meningkat kepada 270 sejak proses pemulangan jenazah tahanan oleh rejim bermula.
Dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, al-Bursh menulis sambil menggambarkan keadaan jenazah-jenazah yang tiba:
“Jenazah dalam keadaan lemah akibat diseksa sebelum dibunuh, wajah-wajah mereka dibakar untuk menghapuskan rupa asal mereka dan perut-perut mereka dirobek dengan kejam, sehingga tiada lagi kata mampu untuk menjelaskan keadaan jenazah-jenazah ini.”
Tambahnya lagi,
“Jenazah-jenazah ini tidak bisu. Bahkan ia berbicara dengan bahasa tanah yang mereka cintai dan bumi yang mereka pertahankan hingga ke nafas terakhir.”
Al-Bursh kemudian bertanya:
“Bagaimana seseorang yang sanggup membunuh tega mempermainkan sisa kemanusiaan mangsanya? Bagaimana pula mereka yang selalu berbicara tentang keadilan dan undang-undang boleh memilih untuk berdiam diri melihat semua ini? Di mana institusi hak asasi? Di mana mahkamah antarabangsa? Dan di manakah mereka yang selama ini melaungkan slogan kemanusiaan?”
Beliau menegaskan bahawa jenazah-jenazah ini akan tetap menjadi saksi terhadap kepura-puraan dunia dan tamadun yang kononnya berperikemanusiaan tetapi sebenarnya tenggelam dalam pakatan dan kebisuan. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pihak rejim Israel telah menyerahkan kembali jenazah para tahanan syuhada yang diculik semasa perang pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Gaza.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, siasatan awal menunjukkan kesan tali gantung dan jerutan jelas pada beberapa jasad syuhada, serta tembakan langsung dari jarak yang sangat dekat, yang menunjukkan berlakunya pelaksanaan hukuman mati di lapangan secara sengaja.
Laporan itu juga mendapati tangan dan kaki beberapa mangsa diikat dengan tali plastik, yang jelas memperlihatkan tanda-tanda mereka diseksa dan diikat sebelum dibunuh, dengan mata ditutup serta wajah menunjukkan kesan penahanan sebelum pelaksanaan hukuman.
Pejabat tersebut turut mengesahkan bahawa beberapa jenazah telah digilis oleh rantai kereta kebal milik rejim, yang mana ianya satu bentuk pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa. Ia juga menyatakan bahawa terdapat kesan penyeksaan fizikal yang teruk pada kebanyakan jasad, termasuk patah tulang, luka dibakar dan luka dalam yang jelas kelihatan.
Sumber: Shehab News Agency