Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kelab Tahanan Palestin menggesa campur tangan segera masyarakat antarabangsa bagi memastikan pembebasan tiga wanita Palestin yang sedang hamil dan kini ditahan di Penjara Damoun dalam keadaan yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan serta melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ketiga-tiga wanita berkenaan merupakan sebahagian daripada 93 orang tahanan wanita Palestin yang kini berada dalam tahanan rejim Israel, dengan majoritinya ditempatkan di Penjara Damoun.


Mereka ialah Amineh al-Taweel, 37 tahun dari Qalqilya, yang sedang hamil empat bulan dan merupakan ibu kepada empat orang anak. Suaminya merupakan bekas tahanan Palestin yang pernah dipenjarakan selama 19 tahun oleh rejim Israel. Beliau ditahan sejak 18 Mac 2026 atas dakwaan hasutan. Seorang lagi tahanan, Dana Joudeh, 35 tahun dari Nablus, sedang hamil lima bulan dan mempunyai seorang anak. Beliau ditahan sejak 18 April 2026 di bawah tahanan pentadbiran selama enam bulan tanpa sebarang pertuduhan. Sementara itu, Manar Ibrahim, 28 tahun dari Ramallah, yang sedang hamil empat bulan dan mempunyai dua orang anak ditahan pada 30 April 2026 atas dakwaan menghasut menerusi media sosial.


Kelab tersebut turut mendakwa para tahanan berdepan tahap pengasingan yang belum pernah berlaku sebelum ini. Mereka juga tidak dibenarkan menerima lawatan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) sejak 7 Oktober 2023, selain dinafikan hak untuk menerima kunjungan ahli keluarga.


Menurut organisasi itu, para tahanan turut dipaksa menjalani pemeriksaan badan tanpa seutas benang, ditempatkan di dalam sel yang tidak mempunyai kemudahan sanitasi asas serta berdepan penderaan dan penghinaan secara sistematik. Wanita hamil juga dilaporkan tidak terkecuali daripada layanan tersebut. Ketiga-tiga tahanan berkenaan dikatakan mengalami penurunan berat badan yang ketara, keletihan melampau dan tidak menerima penjagaan perubatan khusus yang diperlukan.


Kelab Tahanan Palestin turut memaklumkan bahawa sebelum dipindahkan ke Penjara Damoun, mereka terlebih dahulu melalui proses soal siasat dan ditempatkan di Penjara Hasharon, di mana mereka didakwa mengalami pelbagai bentuk penderaan, termasuk pemeriksaan badan tanpa pakaian yang kini didakwa menjadi amalan sistematik di pusat tahanan Israel sejak 7 Oktober 2023.


Rayuan itu dibuat beberapa minggu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasukkan Israel ke dalam senarai pihak yang dipercayai terlibat dalam keganasan seksual secara sistematik di kawasan konflik pada Mei 2026, buat pertama kali sejak proses semakan itu diperkenalkan lebih 15 tahun lalu.


Laporan PBB turut menegaskan bahawa jumlah kes yang berjaya disahkan berkemungkinan hanya mewakili sebahagian daripada skala sebenar pelanggaran yang berlaku berikutan sekatan akses yang dikenakan rejim Israel terhadap penyiasat PBB ke pusat-pusat tahanan.


Kelab Tahanan Palestin menegaskan bahawa penahanan wanita hamil dalam keadaan sedemikian merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap Konvensyen Geneva Keempat yang mewajibkan kuasa pendudukan menyediakan penjagaan perubatan khas kepada wanita hamil serta melindungi mereka daripada layanan kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.


Sehubungan dengan itu, organisasi berkenaan menggesa Pelapor Khas PBB, ICRC serta badan-badan PBB berkaitan hak wanita dan penahanan sewenang-wenangnya supaya campur tangan segera bagi memastikan pembebasan ketiga-tiga tahanan hamil itu serta menyediakan perlindungan antarabangsa kepada semua wanita Palestin yang ditahan oleh rejim Israel.


Dalam perkembangan berkaitan, kematian Sabir Al-Ametel pada minggu lalu menjadikan jumlah tahanan Palestin yang meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 91 orang, manakala keseluruhan jumlah sejak 1967 kini mencecah 328 orang.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
June 23, 2026