Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Beberapa jam sebelum dijadualkan berlayar ke semenanjung Gaza, kapal bantuan kemanusiaan Handala dilaporkan menghadapi dua insiden mencurigakan yang disyaki sebagai cubaan sabotaj terhadap misi tersebut.


Menurut Freedom Flotilla Coalition (FFC), tali ditemui telah melilit kipas enjin kapal iaitu satu tindakan yang berpotensi melumpuhkan sistem enjinnya. Lebih mengejutkan, satu bungkusan yang dikatakan mengandungi air minuman rupa-rupanya berisi asid sulfurik, bahan kimia berbahaya dan menghakis yang boleh mengancam keselamatan kru serta kapal.


Ketika kru kapal memeriksa bungkusan berkenaan, seorang daripada mereka terkena percikan asid di kaki dan melecur. Seorang lagi melecur di tangan selepas membuka bekas itu dan terhidu bau kimia yang kuat.


FFC mengecam keras insiden sabotaj yang berlaku sebagai satu cubaan terancang untuk mencederakan anak kapal dan menggagalkan misi kemanusiaan mereka ke Gaza.


Dalam kenyataannya, FFC menegaskan bahawa serangan tersebut tidak akan menggugat tekad mereka. Mereka tetap akan belayar demi rakyat Gaza iaitu untuk menamatkan sekatan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai.


“Kami tidak akan gentar, tidak akan berdiam diri dan tidak akan berhenti,”
tegas kenyataan FFC.


Kumpulan itu turut menggesa komuniti antarabangsa agar mengheret pihak yang terlibat ke muka pengadilan serta menjamin laluan selamat bagi misi kemanusiaan mereka ke Gaza. Siasatan penuh terhadap cubaan sabotaj itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti pelaku dan memastikan keselamatan misi akan datang.


Misi Flotilla ini menunjukkan komitmen berterusan untuk mencabar sekatan yang dikenakan ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan di tengah-tengah krisis yang semakin meruncing di wilayah itu.



Sumber: Roya News

Written by
Admin
Published on
July 21, 2025