Konvoi laut misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) telah memasuki zon kuning (yellow zone) kira-kira jam 9:30 malam tadi.
Setakat jam 10:59 malam tadi, kapal Alma, Yulara dan Aurora mendahului kapal-kapal yang lain menjadikan ketiga-tiganya berada dalam jarak 191 batu nautika (353 kilometer) dari zon merah dan 270 batu nautika (500 kilometer) dari perairan Gaza berdasarkan sempadan yang dihadkan oleh rejim Israel, 20 batu nautika sejak 2017.
Zon kuning – berada di perairan antarabangsa, di antara Greece dan Cyprus – seperti yang ditetapkan oleh GSF adalah berdasarkan serangan-serangan terdahulu ke atas misi flotila. Zon ini dijangka akan menyaksikan serangan daripada rejim Zionis walaupun masih jauh dari zon merah yang menjadi lapangan serangan Zionis ke atas misi flotila kapal Handala dan Madleen pada Jun dan Julai 2025.
Menurut juruvideo Cinta Gaza Malaysia (CGM), Sul Aidil memasuki zon kuning menandakan fasa untuk mereka bersedia dalam tempoh 24 jam.
“Kami semua sudah dimaklumkan memasuki ke zon kuning. Dan sepanjang berada di dalam zon ini, kami dinasihatkan untuk memastikan barang-barang penting sentiasa berada di sisi dan tidur dalam keadaan berkasut. Mudah untuk kami berlari ke posisi masing-masing jika dipintas (intercept) rejim Israel.”
Manakala Eksekutif Strategik (Tabung Wakaf dan Zakat) CGM, Rusydi Ramli menjelaskan situasi pada ketika ini sangat genting dengan keadaan kapal Sirius yang berkali-kali berdepan dengan masalah enjin sebelum memasuki zon kuning.
“Kami perlu lebih peka, sentiasa memerhatikan langit dan sekitar laut bagi memastikan tiada kehadiran pihak yang tidak diingini. Dan latihan kecemasan akan dilakukan lebih kerap jika berlaku pintasan Israel. Kami akan lebih pantas bertindak dan tahu posisi masing-masing jika diceroboh Israel.”
Rusydi juga memaklumkan beliau mengambil inisiatif untuk melatih diri dengan mengurangkan pengambilan makanan, “Kami diajar untuk tidak mengambil sebarang makanan atau minuman sekiranya dipenjarakan Israel kerana khuatir ia diracun. Pada masa yang sama, kami mahu menepis propaganda Israel yang berlakon baik di mata dunia.”
Konvoi laut Sumud Nusantara dijangka akan memasuki zon merah pada Khamis ini, lapor Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby semalam.
Sementara itu, kapal yang dinaiki oleh wartawan dan juga penulis Anekdot Jalanan, Zainal Rashid Ahmad dikhabarkan telah rosak sepenuhnya dan sedang menunggu kapal Estrella yang membawa jurutera untuk membaik pulih.
Manakala kapal Johnny M yang dinaiki beberapa peserta Malaysia telah disahkan tidak terlibat dengan misi flotila ekoran daripada kegagalan fungsi enjin dan ruangnya yang dimasuki air. Kesemua kru kapal, termasuk peserta Malaysia telah dipindahkan ke beberapa bot yang lain bagi memastikan misi diteruskan dengan selamat.
Sumber: Cinta Gaza Malaysia